Sultan Selangor cadang Idris hadir sambutan Bon Odori

Sultan Selangor cadang Idris hadir sambutan Bon Odori

SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkongsi gambar baginda bersalaman dengan Makio Miyagawa ketika menghadiri perayaan festival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam Panasonic pada 2016 di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ditegur kerana dilihat membuat kenyataan tidak tepat berhubung penganjuran festival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam Panasonic di sini, pada 16 Julai ini.

Malah beliau dicadangkan supaya menghadiri sendiri ke festival tersebut untuk memahami perbezaan antara aktiviti agama dan budaya.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak mahu Idris menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan imej dan reputasi jabatan tersebut.

“Beta tidak mahu pihak-pihak tertentu khususnya ahli-ahli politik menggunakan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata. 

“Beta juga menggesa mereka agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam. Mereka juga perlu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.

IDRIS AHMAD

Baginda menjelaskan, pernah menghadiri sambutan perayaan itu pada 2016 dengan diiringi Duta Besar Jepun ke Malaysia ketika itu, Dr. Makio Miyagawa dan mendapati sambutan Bon Odori di negara ini tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang memesongkan akidah umat Islam.

“Bagaimanapun, beta menitahkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hadir ke festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar dan memastikan sambutannya tidak merosakkan akidah umat Islam,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin berpandangan bahawa Festival Bon Odori yang diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun, adalah hanya satu perayaan kebudayaan.

Titah baginda, di Malaysia, khususnya di Selangor, Bon Odori diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah antara rakyat dengan komuniti masyarakat Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.

“Perayaan ini menjadi popular apabila banyak syarikat-syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Selangor.  Justeru, Bon Odori menjadi platform memperkenal budaya hiburan Jepun di samping merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara,” tegas baginda.

Sultan Sharafuddin juga berharap supaya rakyat Selangor yang berbilang bangsa initerus dapat hidup bertoleransi dalam suasana yang muhibbah dan harmoni. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN