Suami isteri mengaku salah pukul anak dengan penyapu

Suami isteri mengaku salah pukul anak dengan penyapu

KEDUA-DUA tertuduh diiring keluar anggota polis selepas mengaku bersalah mengabai dan memukul anak sendiri di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sepasang suami isteri didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku salah mengabai dan memukul anak mereka menggunakan penyapu dan tali pinggang sehingga cedera, tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Saufi Md. Paiman, 39, dan isteri, Nor Azlina Ab. Aziz, 39, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh secara bersama-sama didapati telah mendedahkan anak sulung mereka yang ketika kejadian berusia 14 tahun sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di rumah mereka di Taman Bukit Rambai masing-masing antara 7 pagi hingga 6 petang pada 16 April 2021 dan antara 6 pagi hingga 8 pagi pada 19 April tahun sama.

Bagi tindakan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun keseksaan.

Mengikut fakta kes, kejadian itu disedari oleh guru sekolah mangsa apabila remaja tersebut yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik meluahkan dia telah dipukul oleh ayahnya.

Susulan itu, mangsa dibawa ke hospital dan rawatan lanjut mengesan pelbagai kesan kecederaan baru dan lama di seluruh badannya.

Pihak polis kemudian memberkas ibu dan bapa mangsa pada 22 April 2021, selain merampas senjata dipercayai digunakan untuk mencederakan remaja tersebut iaitu sebatang penyapu, segulung tali pinggang dan pemukul lalat.

Terdahulu, Peguam Mohamed Fozi Md. Zain yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan perbuatan itu didorong oleh tekanan kehidupan dialami pasangan itu melibatkan masalah kewangan.

Jelasnya, si suami hanya melakukan kerja-kerja kampung termasuk memotong rumput, manakala isteri menjual produk karipap sejuk beku.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari bagaimanapun memohon hukuman berat dikenakan sebagai berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat. 

Beliau turut mencadangkan hukuman tambahan yang memerintahkan orang disabitkan kesalahan menyempurnakan satu bon dan penjamin dengan apa-apa tempoh dan sebarang syarat mahkamah melalui khidmat masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3,500 masing-masing bagi pertuduhan satu dan dua terhadap setiap tertuduh atau penjara enam bulan jika gagal bayar. 

Hakim turut memerintahkan pasangan suami isteri itu dikenakan bon jaminan RM2,000 dan seorang penjamin tanpa cagaran dengan syarat tambahan tidak boleh melakukan sebarang pengabaian di bawah jagaan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya