SPRM siasat nama didedahkan saksi kes Zahid Hamidi - Utusan Malaysia

SPRM siasat nama didedahkan saksi kes Zahid Hamidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kertas siasatan akan dibuka Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penama yang dikaitkan menerima wang seperti didedahkan saksi dalam perbicaraan rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengesahkan menerima beberapa aduan terhadap individu-individu terbabit yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.

“Siasatan yang akan dijalankan adalah mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) memberi dana sebanyak RM1.3 juta kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2018.

Bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid, ketika lejar syarikat tersebut dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN).

Ketika ditanya Ahmad Zaidi, siapakah ‘TSM’ yang tercatat di dalam lejar tersebut, saksi itu menjawab, ‘Tan Sri Muhyiddin’.

Selain Muhyiddin antara ahli politik lain yang disebut-sebut sepanjang prosiding ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.

Nama-nama ahli politik itu terdapat di dalam lejar UKSB dan Laporan Analisis kes Cawangan Forensik dan Teknologi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saksi itu turut mengesahkan berdasarkan catatan lejar itu, UKSB memberi Khairy dana keseluruhan sebanyak RM3.7 juta manakala Reezal Merican, berdasarkan laporan forensik SPRM, antara RM200,000 dan RM300,000. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN