Sindiket pelaburan kutip RM90 juta dari 4,000 orang

Sindiket pelaburan kutip RM90 juta dari 4,000 orang

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menerima 300 aduan membabitkan sebuah syarikat tempatan mengambil wang pelaburan daripada orang ramai melibatkan lebih 4,000 orang dengan jumlah kewangan hampir RM90 juta.

Selain rakyat tempatan, syarikat pelaburan berpangkalan di Kuala Lumpur itu didakwa memperdaya pelabur luar negara seperti Indonesia, Taiwan, Vietnam, Thailand dan negara Arab.

Namun, tidak diketahui jumlah pelaburan yang dilabur dari luar negara berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah mendakwa, sejak pelaburan dibuat hampir lima tahun bermula 2017, pelabur-pelabur ini tidak pernah mendapat sebarang keuntungan dan imbuhan.

Dakwanya, pelabur terbabit juga tidak pernah dikembalikan wang pelaburan, walaupun dituntut beberapa kali.

Sehubungan itu, katanya, kerana berasa tertipu, mereka membuat aduan kepada YPNM bagi meminta perkara tersebut dibawa ke perhatian pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“YPNM telah menjemput hampir 300 mangsa pelaburan itu dan memberi taklimat serta penerangan tentang pelaburan haram tersebut.

“Kami juga menjemput Jabatan Siasatan jenayah Komersial daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), tribunal tuntutan pengguna, penguatkuasaan skim pelaburan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta peguam daripada segi undang-undang sivil dalam pelaburan.

“YPNM akan mengambil tindakan susulan terhadap syarikat pelaburan terbabit yang tidak mempunyai lesen untuk menerima wang pelaburan daripada pada orang ramai,” katanya di sini semalam.

Firdaus berkata, YPNM meminta orang ramai berhati-hati dengan sindiket pelaburan yang menjanjikan pelbagai keuntungan dan inisentif.

“Mereka hendaklah menyiasat dan meneliti terlebih dahulu tentang sesebuah syarikat itu sebelum membuat pelaburan.

“Jangan disebabkan janji keuntungan lumayan dan insentif menarik, kita tidak berfikir panjang dan terus melabur termasuk sanggup mengeluarkan semua wang simpanan,” katanya.

Beliau berkata, dalam apa juga jenis pelaburan, perlu mempunyai dokumen rujukan, seperti prospektus dan juga kelulusan Bank Negara Malaysia untuk menerima wang pelaburan.

“Prospektus tersebut perlu diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Jika pelaburan ditawarkan tidak mempunyai sebarang dokumen yang boleh dijadikan rujukan terhadap pelaburan tersebut, ia adalah pelaburan haram,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya