SHAH ALAM: Negara mengalami kerugian sekurang-kurangnya RM6.1 juta akibat penyelewengan minyak bersubsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat iaitu petrol RON 95 dan diesel sejak Januari hingga Mei tahun ini.
Malah, kerugian terhadap penyelewengan diesel dikesan meningkat pada tahun ini sebanyak RM3.06 juta dengan kenaikan kes lebih 100 peratus iaitu 128 berbanding tahun lalu 52 kes dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM2.2 juta.
Bagi petrol RON95, berlaku peningkatan ke atas jumlah kes dan nilai rampasan bahan petroleum berkenaan bermula 1 Januari sehingga 31 Mei lalu sebanyak 54 kes melibatkan nilai rampasan berjumlah RM365,116.00.
Berbanding tempoh sama tahun lalu, sebanyak 49 kes direkodkan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM96,787.
Rampasan terbesar di Johor apabila serahan oleh agensi penguatkuasaan di sempadan Johor kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melibatkan beberapa lori minyak dan diesel sebanyak 95,000 liter dan wang tunai RM12,507 dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM3.018 juta.
Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, terbaharu di Klang sebuah stor haram diserbu KPDNHEP Putrajaya dan berjaya merampas kira-kira 5,000 liter minyak diesel bersubsidi.
“KPDNHEP turut merampas sebuah lori dengan nilai rampasan dianggarkan sejumlah RM37,750. Selain itu satu kes di Kelantan melibatkan sebuah kereta yang diubah suai tangki dan minyak petrol 68 liter dengan nilai rampasan dianggarkan sejumlah RM3,000.
“Satu kes di Labuan melibatkan rampasan minyak diesel bersubsidi dengan nilai rampasan dianggarkan sejumlah RM 430,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Jelasnya, sehingga kini terdapat sembilan stesen minyak di seluruh negara sudah diambil tindakan termasuk arahan menutup premis kerana terbabit dengan jenayah penyelewengan tersebut.
Kata Azman lagi, rampasan dibuat menerusi pemantauan dan penguatkuasaan besar-besaran membanteras jenayah penyelewengan serta penyeludupan diesel dan RON95 yang menjejaskan bekalan kepada pengguna dan kewangan kerajaan. – UTUSAN











