Segera perkasakan bahasa Melayu jika tidak mahu pupus - Utusan Malaysia

Segera perkasakan bahasa Melayu jika tidak mahu pupus

NORAINI Ahmad (dua dari kanan) dan Mohd. Ekhwan Toriman (dua dari kiri) ketika perasmian Program Sayembara Cerpen Parit Sulong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANSFORMASI sosial dan perkembangan dunia komunikasi tanpa sempadan sedikit sebanyak merubah landskap linguistik dan pola penggunaan bahasa dalam kalangan masyarakat moden pada hari ini, sekali gus memberikan cabaran kepada institusi pengajian tinggi (IPT) untuk terus memartabatkan bahasa watan dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Satu kajian pada tahun 2020 menunjukkan bahawa terdapat 7,117 bahasa yang masih dituturkan pada hari ini.
Bagaimanapun, jumlah itu sentiasa berubah saban hari. Ini adalah kerana, pakar bahasa mendapati lebih kurang 40 peratus bahasa di dunia kini berada dalam keadaan terancam.

Perjuangan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam memartabatkan bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang mudah. UKM ialah universiti yang mencatat rekod 13 tahun lebih awal dalam pengisian untuk mengangkat bahasa Melayu dalam sistem pendidikan tinggi negara. Kerajaan menetapkan 1983 sebagai permulaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi sementara UKM telah ditubuhkan pada 1970.

Rancangan pengisian dasar adalah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam bidang pendidikan melalui perkongsian serta penyampaian ilmu pengetahuan. Justeru, dalam apa jua perancangan yang dilaksanakan, matlamat penubuhan UKM yang berkait rapat dengan cita-cita kebangsaan untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu tidak pernah sekali-kali dilupakan.

Naratif

Dalam merealisasikan naratif baharu UKM, antara prakarsa berkaitan akademik yang dilaksanakan termasuk penetapan kursus wajib universiti, kursus pengukuhan penulisan tesis dan karya ilmiah yang disampaikan dalam bahasa Melayu.

Selain itu, kewujudan skim penggalakan penulisan buku dan penubuhan bahagian terjemahan juga mampu memperkasakan penghasilan ilmu dalam bahasa Melayu. Dari semasa ke semasa, pemantauan dan penambahbaikan sentiasa dilakukan oleh UKM agar prakarsa memartabatkan bahasa Melayu dilaksanakan secara progresif.

UKM mempunyai beberapa buah institut kecemerlangan yang ada kepakaran khusus dalam pengajian bahasa Melayu. Antaranya, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM ditubuhkan pada 1972. Tujuan penubuhan ATMA adalah untuk melaksanakan usaha pengembangan aspek-aspek penting tamadun alam Melayu yang turut meliputi wilayah supranasional yang tidak terbatas dalam negara sahaja.

ATMA UKM diangkat sebagai Sekretariat Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu di IPT-IPT Negara ASEAN, yang dipengerusikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Dalam penganjuran Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu (22-24 Jun 2022), ATMA UKM dilantik Pejabat Perdana Menteri sebagai salah satu penganjur utama, bersama-sama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Terkini, ATMA telah diberi kepercayaan oleh Jabatan Warisan Negara untuk menjalankan kajian perbandingan kesantunan lima etnik utama di Malaysia iaitu Melayu, Cina, Iban, Kadazan-Dusun, untuk perpaduan kebangsaan.

Rancangan program pengembangan bahasa Melayu di IPT di ASEAN ialah langkah penting bagi memupuk satu kesefahaman dan kesatuan iltizam dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPT negara-negara ASEAN.

Iltizam

Persefahaman dan iltizam disinergikan dalam satu program yang diadakan, iaitu Program Sidang meja Bulat Pengembangan Bahasa Melayu Di IPT Negara-Negara ASEAN pada 23 Mei 2022. Program ini dihadiri 35 orang tokoh ilmuwan dan pemimpin Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Filipina, dan juga Kemboja. Ternyata inisiatif awal pihak ATMA ini berjaya membina platform jalinan strategik dengan pelbagai institut pengajian tinggi di rantau ASEAN.

Usaha memartabatkan bahasa Melayu tidak hanya tertumpu kepada golongan mahasiswa sahaja. Terkini, UKM telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Program Sayembara Cerpen Parit Sulong atau SAMPENG 2022.

Program yang dirasmikan Noraini ini bertujuan untuk menggalakkan para pelajar sekolah rendah dan menengah menjiwai keindahan bahasa Melayu melalui penulisan karya kreatif.

Melalui program ini, para pelajar diberi peluang untuk menzahirkan idea dan kreativiti serta mendalami ilmu kesusasteraan bahasa Melayu. Inilah bukti usaha UKM dalam memartabatkan bahasa Melayu, yang bukan sekadar tertumpu kepada golongan tertentu sahaja.

UKM sentiasa bersedia dan komited dalam melaksanakan apa sahaja program yang mampu memberi impak kepada masyarakat, tidak kira di mana mereka berada. Pengisian dan penobatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi merupakan salah satu dasar penting UKM. Diharapkan agar bahasa Melayu sentiasa menjadi asas jati diri kebangsaan, bukan sahaja dalam kalangan warga universiti, tetapi juga semua lapisan masyarakat di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN