Saya dedah semua bukti kepada Jakim – The Hood Man

Saya dedah semua bukti kepada Jakim – The Hood Man

ABDULLAH men­dedahkan semua perkara yang berlaku di loji sembelihan berkenaan yang dilihat dengan mata dan kepalanya sendiri dan dibuktikan dengan rakaman gambar serta video.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lelaki dikenali ‘The Hood Man’ atau Abdullah mengesahkan bahawa dia sudah memberikan segala maklumat kepada Jakim berkaitan isu loji sembelihan Thomas Foods International (TFI) Lobethal, Australia yang diyakini tidak mematuhi protokol halal sembelihan haiwan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdullah berkata, per­bincangan dengan Jakim diadakan pada 19 Mei lalu bersama Ketua Pengarah, Datuk Hakimah Mohd. Yusoff dan dua lagi pegawai jabatan itu menerusi persidangan video.

Dalam perbincangan itu, Ab­­dullah memberitahu, dia men­dedahkan semua perkara yang berlaku di loji sembelihan berkenaan yang dilihat dengan mata dan kepalanya sendiri dan dibuktikan dengan rakaman gambar serta video.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ini termasuk bagai­mana dia secara konsisten membuat aduan mengenai pe­langgaran protokol halal itu kepada pihak majikan dan wakil Islamic Council of Halal Meat in Austra­lia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan itu.

Tetapi katanya, mereka enggan mengambil tindakan sewajarnya sehinggalah dia dipecat apabila perkara itu didedahkan kepada umum.

“Banyak fakta disampaikan kepada Jakim. Saya telah dita­nya banyak soalan mengenai isu TFI berhubung proses penge­luaran tidak patuh syariah, ke­kejaman terhadap haiwan dan isu keselamatan makanan.

“Wakil SICHMA di loji itu di­maklumkan mengenai pelanggaran protokol halal ketika saya masih bekerja di situ tetapi mereka tidak mengendahkannya kerana menganggap ia perkara biasa,” katanya di sini semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad kelmarin memberitahu, Jakim berjaya menghubungi Abdullah dan maklumat yang diperoleh daripada lelaki terbabit akan disahkan untuk tujuan siasatan kes berkenaan.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan status halal rumah penyembelihan TFI diragui apabila prosedur sembelihan didakwa tidak mengikut syariat Islam berdasarkan bukti rakaman video dan gambar menun­jukkan haiwan-haiwan dilemaskan dalam taku­ngan darah binatang yang di­sembelih terdahulu dan haiwan itu mati akibat lemas bukannya kerana disembelih.

Ini termasuk pengakuan terbuka Abdullah yang merupakan sumber uta­ma iaitu seorang bekas penyembelih di rumah sembelihan tersebut mengakui segala dakwaan didedahkan mempunyai bukti bergambar dan rakaman video.

Pendedahan itu akhirnya disahkan benar selepas SICHMA menjalankan audit mengejut ke atas TFI pada 23 Mei lalu dan mengesahkan ia melanggar protokol halal dalam proses pe­nyembelihannya.

Dalam pada itu, Abdullah berkata, sebagai penyembelih, dia tidak ada kuasa menghentikan pemprosesan yang tidak halal melainkan ia adalah keputusan pihak pengurusan kerana melibatkan kerugian besar kepada syarikat berkenaan memandangkan kira-kira 6,000 ekor kambing disembelih setiap hari.

Ini kerana, katanya, mengikut syarat pensijilan halal, mana-mana haiwan yang didapati tidak disembelih mengikut syarat halal, haiwan berkenaan akan dilabel dan diturunkan gred kepada tidak halal.

Menurutnya, pegawai atase Halal Jakim sebelum ini ada menghubunginya untuk mendapatkan maklumat, namun enggan mendedahkan identitinya ketika diminta berbuat demikian, malah menganggapnya seorang penipu.

“Saya berterima kasih kepada pelbagai pihak di Malaysia terutama mufti-mufti yang mengambil sikap proaktif mahu menangani isu makanan halal haram umat Islam negara ini.

“Semua pihak sepatutnya memainkan peranan termasuk ‘menilai keakraban’ pegawai Jakim dengan SICHMA serta ahli perniagaan di sana agar integriti halal tidak dikompromi,” katanya.

Pada masa sama, Abdullah berkata, dia pada bila-bila masa bersedia membantu mana-mana pihak dalam memulihkan integriti halal sekali pun perlu mempertaruh nyawa kerana masih menerima ugutan yang dipercayai daripada pihak yang berang dengan pendedahannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN