'Sampai kereta saya kena calar' - Ameng Spring - Utusan Malaysia

‘Sampai kereta saya kena calar’ – Ameng Spring

AMENG SPRING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Sekejap sahaja tu, esok jadi balik.”

Itu antara pandangan-pandangan dangkal yang masih dilayangkan kepada penyanyi, Wan Aminuddin Wan Ismail atau Ameng Spring.

Hanya kerana satu ketika dahulu pernah terkait dengan jenayah dadah, dirinya dihukum dan dipandang rendah sehingga ke hari ini.

Namun, kata penyanyi berusia 53 tahun itu, reaksi negatif yang dilemparkan tidak sedikit pun mematahkan semangat. Malah menjadi penguat untuknya meneruskan kehidupan.

“Jangankan orang lain, keluarga sendiri. Masih ada yang pandang serong pada diri kita. Hakikat itu kita tak dapat lari. Setelah ada rekod (jenayah), masih akan ada orang yang berpandangan sebegitu terhadap diri kita.

“Tapi saya tak salahkan mereka. Itu adalah apa yang mereka lihat. Tengok penagih, keluar masuk pusat pemulihan. Berpuluh kali pun ada. Itu kesilapan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 menetapkan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan kepada Ameng atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah.

Bagaimanapun, kerana berkelakuan baik, tempoh hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya dipendekkan. Pada 14 Jun 2016, Ameng dibebaskan dari Penjara Kluang kira-kira pukul 12.15 tengahari.

Kini, penyanyi yang pernah mempopularkan lagu Cinta Pandang Pertama itu giat menyampaikan ceramah dan motivasi lebih-lebih lagi buat mereka yang telah dan masih bergelumang dengan jenayah tersebut.

Namun kata Ameng, usaha itu bukan mudah kerana tidak semua yang selesa dengan kerja murni diusahakannya itu.

“Ada juga orang tak suka kita bagi ceramah motivasi. Mereka tak senang tengok kita bagi nasihat. Sampai kereta saya kena calar. Itu tandanya ada yang marah, sebab kita berkempen suruh berhenti ambil dadah,” jelasnya.

Kata Ameng, sebagai seorang yang pernah terlibat dengan jenayah berkenaan, dia perlukan kekuatan kerana ujian dan dugaan untuknya tidak pernah berakhir.

“Sampai sekarang, ada lagi ajakan kawan-kawan. Bukan itu sahaja, pengedar-pengedar, masih ganggu saya. Ancaman dan cabaran itu sentiasa ada. Kita kena kuat, itu sahaja. Yang keluar masuk pusat pemulihan itu bukan apa, mereka tak nekad. Jadi semuanya atas diri kita,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN