PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis memutuskan bahawa tiada keperluan untuk kerajaan mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi membentang dan membahaskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beberapa faktor dipertimbang semasa sesi perbincangan bersama Perdana Menteri, antaranya penjimatan kewangan kerajaan dalam melaksanakan Mesyuarat Khas Parlimen bagi kedua-dua Dewan yang dijangka boleh digunakan untuk perkara-perkara lain seperti membantu kelangsungan rakyat.
Katanya, pada keseluruhannya jumlah kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan adalah kira-kira RM1,077,600 tidak termasuk kos operasi jika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat dan Dewan Negara diadakan.
“Selain itu, penyertaan ramai ahli Parlimen dalam lawatan ke luar negara pada ketika ini sehingga pertengahan Julai 2022 bagi mengikuti program-program anjuran Parlimen Malaysia yang tidak boleh ditangguhkan kerana ia melibatkan lain-lain pihak berkepentingan.
“Sebagai contoh terdapat dua Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan ke luar negara pada awal bulan Julai sehingga pertengahan Julai 2020 iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi serta Jawatankuasa Pilihan Khas Keselamatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi memaklumkan, RUU itu dibahaskan dan dibentangkan dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas 2022 bermula 18 Julai ini sebagaimana takwim sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara, sebelum disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pewarkahan dan pewartaan.- UTUSAN