RM654 juta bina pusat rehabilitasi terbesar Asia Tenggara di Ipoh

RM654 juta bina pusat rehabilitasi terbesar Asia Tenggara di Ipoh

M. SARAVANAN (dua dari kanan) dan Saarani Mohamad (kiri) menyempurnakan majlis pecah tanah bagi pembinaan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Bandar Meru Raya, Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM654 juta bagi pembinaan kompleks yang menempatkan Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Kebangsaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Bandar Meru Raya di sini.

Pembinaan pusat rehabilitasi terbesar di Asia Tenggara itu akan menggabungkan rehabilitasi perubatan dan vokasional serta dilengkapi pelbagai kemudahan berteknologi tinggi.

Kompleks bertaraf antarabangsa yang dijangka siap pada hujung 2024 itu boleh memuatkan sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa dan bertindak sebagai pusat kecemerlangan bagi program  rehabilitasi dan Return To Work (RTW) Perkeso.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, projek di atas tanah berkeluasan 37 hektar itu bakal menjadi mercu tanda baharu bagi perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan untuk orang berinsurans di bawah Perkeso.

Beliau berkata, pembinaan projek itu merupakan inisiatif Kementerian Sumber Manusia melalui Perkeso dalam memperluaskan lagi perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan yang lebih berkualiti kepada golongan pekerja khususnya di Zon Utara.

Malah katanya, kejayaan program RTW Perkeso yang telah berjaya memulihkan seramai 45,614 pekerja yang hilang upaya menjadi antara titik tolak kepada pembangunan pusat berkenaan.

“Sejak 2014 hingga kini, kira-kira 30 ke 35 peratus daripada jumlah kes kemasukan pekerja ke Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka adalah dari Zon Utara.

“Jadi, kita melihat penubuhan sebuah lagi pusat rehabilitasi di Ipoh wajar dilaksanakan bagi membolehkan perkhidmatan yang lebih berkualiti dapat diberi kepada golongan pekerja khasnya pencarum Perkeso dan orang awam di Zon Utara,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah kompleks berkenaan di Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kos pembinaan projek itu adalah lebih tinggi berbanding bajet asal sebanyak RM500 juta berikutan kenaikan harga barang seperti simen dan besi.

Katanya, semua pihak diingatkan agar memberi perhatian kepada projek itu kerana ia akan sentiasa dipantau oleh kerajaan negeri melalui Menteri Besar dan Sultan Perak sendiri.

“Pembangunan projek ini mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang mencadangkan reka bentuk ikonik dan berkonsepkan budaya negeri Perak.

“Penubuhan pusat rehabilitasi yang berteknologi tinggi ini juga adalah seiring dengan agenda kerajaan negeri Perak untuk menyediakan lebih banyak kemudahan kesihatan yang berkualiti tinggi dan terbaik kepada rakyat khususnya golongan pekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.