fbpx

Risiko hilang hasil cukai lebih RM10 bilion

NEGARA berisiko kehilangan hasil kutipan cukai sehingga lebih RM10 bilion sekiranya dikuatkuasakan larangan ke atas arak, perjudian dan operasi pusat hiburan.

PETALING JAYA: Negara berisiko kehilangan hasil kutipan cukai sehingga lebih RM10 bilion sekiranya membuat keputusan untuk melaksanakan larangan ke atas arak, perjudian dan operasi pusat hiburan seperti mana yang dituntut oleh satu tinjauan dalam talian baru-baru ini.

Jumlah yang dianggarkan itu berikutan hasil cukai yang dikutip bagi Mei dan September pada 2019 adalah berjumlah RM12.5 bilion dengan cukai yang dikenakan ke atas perjudian, tembakau dan arak masing-masing berjumlah RM4.5 bilion, RM4.4 bilion dan RM3.6 bilion.

Naib Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro (PPRB), Jeremy Lim berkata, ketika ini bukanlah masa yang sesuai untuk kerajaan melaksanakan generasi penamat (generational end game) ke atas penjualan rokok, produk vape, alkohol dan pusat hiburan itu.

Sebaliknya, beliau berkata, satu kajian perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengkaji kesannya kepada masyarakat dan hasil cukai sebelum melaksanakannya.

“Larangan menyeluruh tidak membantu, malah menaikkan duti eksais secara berlebihan juga tidak membantu. Lihat saja pada rokok, kita adalah nombor 1 bagi pasaran rokok seludup di dunia. Satu dalam dua rokok yang dihisap adalah dari pasaran rokok seludup. Campur tangan kerajaan yang berlebihan tanpa pelan penguatkuasaan yang terperinci tidak akan bermakna.

“Jika kerajaan mahu mengharamkan aktiviti tertentu yang memberi kesan kepada kutipan cukai, kami cadangkan kajian dibuat lebih awal. Jelaskan kepada rakyat, berapakah jumlah cukai yang dikutip daripada perniagaan, eksais, individu dalam industri terlarang yang dicadangkan (tinjauan dalam talian) dan apakah tindakan untuk menampung kekurangan (kutipan cukai) tersebut,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu tinjauan pendapat yang dijalankan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) secara dalam talian, awal bulan ini.

Tinjauan yang berjaya mengumpul 1,259 responden itu dijalankan bagi memahami pandangan orang ramai mengenai larangan untuk tabiat-tabiat negatif lain selain daripada merokok dan menggunakan rokok elektronik (vape) untuk generasi yang akan datang.

Hasil tinjauan mendapati 89 peratus mahukan kerajaan mengharamkan arak; 69 peratus mahukan kerajaan mengharamkan penjualan minuman manis; 86 peratus mahukan kerajaan mengharamkan perjudian dan 79 peratus pula mahukan kerajaan mengharamkan operasi kelab malam, karaoke dan pub.

Mengulas lanjut, Jeremy berkata, pihaknya memahami inisiatif kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan dalam mewujudkan generasi baharu yang bebas daripada tabiat negatif untuk kesihatan awam yang lebih baik.

Malah, katanya, pihaknya juga tidak menolak rasional kekurangan duti eksais dapat ditampung dengan penurunan kos penjagaan kesihatan sekiranya larangan itu dilaksanakan.

“Bagaimanapun penguatkuasaan masih akan menjadi isu,” ujarnya.

Jelas Jeremy, jumlah kira-kira 1,000 responden juga tidak boleh dijadikan sebagai satu alasan yang menggambarkan keseluruhan rakyat di negara ini.

Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, larangan secara menyeluruh terhadap tabiat negatif itu sememangnya dapat memberikan kesan negatif sekali gus menurunkan hasil kutipan cukai, namun bersifat jangka masa pendek.

Justeru, katanya, pelaksanaannya perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan berkemungkinan mengehadkan penjualan produk tersebut di tempat terbuka.

“Larangan itu sebaiknya dihadkan di tempat terbuka saja kerana kita (perlu) menghormati dan apabila dihadkan dan dijual di premis tertentu, ada kemungkinan negara cuma kehilangan sikit (berbanding keseluruhan kutipan cukai).

“Tetapi mereka juga kena menghormati kita, jadi jangan jual di kedai runcit yang dikunjungi oleh orang Islam dan kanak-kanak.

“Namun, ia (kutipan rendah) tidaklah sampai mengganggu ekonomi negara sebab akan ada hasil kutipan dari tempat lain. Apabila kurang berbelanja pada arak dia mungkin akan berbelanja tempat lain,” ujarnya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN