JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat rangkaian telekomunikasi bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM200,000.
Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 43 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor, kira-kira 8 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Difahamkan, sekitar April tahun lalu, suspek meminta dan menerima wang rasuah tersebut daripada sebuah syarikat lain sebagai dorongan memberikan kerja berkaitan projek kejuruteraan pembinaan dan pembaikian menara telekomunikasi yang berjumlah hampir RM50 juta.
Susulan itu, Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan suspek ditahan reman empat hari selepas SPRM Johor membuat permohonan reman.
Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 17 Jun depan itu keluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009. – UTUSAN