PUTRAJAYA: “Saya sekarang masih lagi dengan tugas rasmi di Kementerian Kewangan. Fokus kepada tugas sedia ada sekarang”.
Demikian jawapan spontan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika ditanya pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Terlajak Raya anjuran Kelab Media Putrajaya di sini hari ini.
Dalam nada berseloroh, beliau berkata, tugas dirinya yang terlalu padat di kementerian itu menyebabkan beliau tiada masa memikirkan isu politik. Namun jawapan ‘tergantung’ beliau yang juga anggota UMNO Bahagian Lembah Pantai itu ternyata memberi tanda tanya status dirinya sebagai calon Barisan Nasional (BN).
Ia susulan ‘cakap politik’ panas kebelakangan ini memberikan bayangan kononnya Tengku Zafrul akan bertanding d kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 (PRU15). Khabar angin itu bertiup kencang sejak beberapa minggu lepas ekoran kekerapan beliau mengadakan program rasmi sama ada kerajaan atau parti UMNO di sekitar kawasan berkenaan.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul tidak pula menafikan atau mengiyakan pertanyaan mengenai kebarangkalian beliau akan bertanding termasuk di mana-mana kawasan yang berpotensi.
“Fokus saya sekarang ialah kepada pelan pemulihan ekonomi negara. Rasanya belum tiba masa untuk saya perlu jawab soalan tersebut,” katanya secara bersahaja sambil tersenyum. – UTUSAN