PRU15 dalam masa terdekat tambah derita rakyat - Utusan Malaysia

PRU15 dalam masa terdekat tambah derita rakyat

ABDULLAH HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pas Johor berpandangan cadangan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat hanya akan menekan dan menambah derita rakyat yang dibelenggu pelbagai isu ketika ini.

Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin berkata, kini bukanlah masa untuk berebut kuasa politik yang tidak berkesudahan sebaliknya memberi keutamaan mengurangkan bebanan ditanggung rakyat.

“Pas Johor menyeru semua pihak agar menjadikan agenda memakmurkan negara dengan memaksimumkan usaha ke arah mengembalikan kesejahteraan dan rakyat dijadikan sebagai agenda utama negara.

“Rakyat sedang dihimpit oleh kenaikan harga barangan keperluan, kenaikan kos pengurusan dan kesukaran hidup. Adalah tidak wajar untuk menambahkan lagi kesengsaraan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 1 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sewaktu berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) memberi jaminan tidak akan melewatkan walau sesaat pun untuk membubarkan Parlimen sekali gus mengadakan PRU15.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum itu dilaporkan berkata, PRU15 sudah mencapai tempoh matang dan kini memasuki tahun terakhir sebelum Parlimen dibubarkan.

Mengulas lanjut, Abdullah berkata, wakil rakyat mempunyai tempoh kira-kira setahun lagi sebelum tamat penggal PRU14 untuk berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, Pas Johor senada dengan saranan Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar PRU15 tidak diadakan dalam tempoh terdekat kerana rakyat masih terbeban dengan keadaan ekonomi yang belum pulih.

“Pengurusan pilihan raya pastinya memerlukan kos yang sangat tinggi sekali gus tidak sesuai pada masa kini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya