PPNP tubuh anak syarikat tingkat ekonomi sektor pertanian

PPNP tubuh anak syarikat tingkat ekonomi sektor pertanian

ZUHAIRI Ab. Kadir (tiga dari kanan) menunjukkan perjanjian kerjasama strategik antara Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) dan NNTQ Agri Sdn. Bhd. di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) menubuhkan anak syarikat NNTQ Agri Sdn. Bhd. yang akan berkongsi pengalaman, kepakaran dan model peluang perniagaan dalam melahirkan model baharu Program Pembangunan Tanah Pertanian (PPTP).

Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, ia untuk memajukan ekonomi sektor pertanian di negeri ini yang memberi banyak manfaat, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pendapatan kepada peserta yang terlibat seterusnya menambah hasil kepada kerajaan negeri.  

“Model baharu PPTP itu akan membabitkan 500 peserta individu yang mempunyai hak milik tanah dan PPNP juga akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk memohon pertimbangan mendapatkan tanah kerajaan yang berpotensi diusahakan dalam sektor perladangan kelapa sawit.

“Usaha sama berkenaan akan menumpukan pelaksanaan projek pertanian bernilai tinggi yang akan diusahakan NNTQ Agri dan menyasarkan kawasan sehingga 10 ribu ekar,” katanya pada majlis memeterai perjanjian kerjasama strategik antara PPNP dan NNTQ Agri Sdn. Bhd di sini hari ini.

Sektor pertanian dianggarkan berkembang sebanyak 3.8 peratus setahun dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan menyumbang tujuh peratus kepada keluaran negara dalam kasar (KDNK) pada tahun 2025.

Ia berikutan pertumbuhan sektor agromakanan yang dijangka berkembang pada kadar 4.5 peratus setahun.

Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan Pahang akan menumpukan kepada lima sektor termasuk sektor pertanian berteknologi tinggi dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri. 

Wan Rosdy berkata, tumpuan terhadap sektor pertanian tersebut dilihat bersesuaian kerana mengambil kira penglibatan penduduk di negeri ini khususnya di kawasan pedalaman dalam bidang pertanian.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, projek yang dipilih dan dirancang menerusi model baharu itu menggariskan bahawa peserta tidak perlu mengeluarkan apa-apa kos modal pembangunan projek atau menguruskan operasi.

“Ia kerana akan dilaksanakan sepenuhnya NNTQ Agri dengan pemantauan PPNP sehingga hasil tanaman dikeluarkan bagi menyelesaikan isu masalah kewangan dan kemahiran pemilik tanah menguruskan sendiri kerja pertanian dan pemasaran.

Dalam usaha sama itu, beliau berkata, PPNP berperanan sebagai badan yang mengenal pasti lokasi dan kumpulan sasar untuk ditawarkan peluang untuk projek itu dijalankan sebelum mencadangkan lokasi berkenaan kepada NNTQ Agri.

Sementara itu, Pengarah Urusan NNTQ Agri, Chai-Ming Quah berkata, syarikat itu menghargai kerjasama PPNP dan bersedia menilai kesesuaian tapak dan mencadangkan jenis tanaman yang bersesuaian.

“Ia akan menjadi satu jalinan yang memberi manfaat secara langsung kepada semua pihak yang terlibat.

Beliau berkata, PPTP itu akan membuka peluang baharu kepada komuniti setempat dan kerajaan tanpa ada risiko kerugian untuk meneroka peluang pertanian yang berpotensi besar untuk menjana pendapatan menerusi model peluang perniagaan yang dicadangkan.

“Kami juga akan menanggung kos modal pembangunan projek secara menyeluruh termasuk pembekalan keperluan projek hingga ke penjualan produk pertanian kepada pemain industri dan memberi dividen secara tahunan bagi projek kerajaan dan bulanan bagi projek individu menerusi PPNP,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN