rondaan khusus

Polis wujud rondaan khusus di Jalan Temiang-Pantai 

POLIS Negeri Sembilan mewujudkan sektor rondaan pada waktu siang khusus di Jalan Temiang-Pantai di Seremban bagi memberi nasihat dan panduan kepada pengguna jalan tersebut.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan mewujudkan sektor rondaan waktu siang khusus di Jalan Temiang-Pantai di sini bagi memberi nasihat dan panduan agar pengguna jalan tersebut sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta tidak membahayakan diri serta pengguna jalan raya yang lain.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, rondaan menerusi Op Nasihat itu  bermula sejak 8 Jun lalu yang melibatkan pegawai dan anggota trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dan Nilai.

“Bagi tempoh 8 hingga 21 Jun lalu, sebanyak 43 rondaan berkala telah dilaksanakan dengan sejumlah 210 nasihat telah dikeluarkan. Sebanyak 210 pemeriksaan individu dan 118 pemeriksaan kenderaan juga telah dilaksanakan.

“Sebanyak 115 saman juga telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan khususnya berhenti di bahu jalan di jalan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan di pekarangan IPK Negeri Sembilan di sini hari ini.

Jalan Temiang-Pantai sejak mula dibuka pada 26 Ogos tahun lalu semakin menjadi tumpuan orang ramai kerana pemandangan indah beberapa kawasan di jalan itu yang dikatakan pemandangannya seperti di negara New Zealand.

Kehadiran orang ramai terutama pada hujung minggu dan cuti umum yang berhenti di bahu jalan dan laluan kecemasan di jalan tersebut untuk berkumpul dan mengambil gambar bagaimanapun telah mengundang rasa kurang selesa selain boleh membahayakan diri dan pengguna jalan raya lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN