Polis tingkat operasi banteras seludup dadah

Polis tingkat operasi banteras seludup dadah

JUMLAH pengedar dadah tempatan dijangka bertambah berikutan langkah kerajaan Thailand membenarkan rakyatnya menanam pokok ganja di rumah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan pengedar tempatan yang mudah mendapatkan bekalan ganja dari Thailand yang membenarkan rakyatnya menanam pokok ganja.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, penawaran ganja menjadi lebih tinggi di Thailand berikutan langkah negara jiran itu menghapuskan ganja daripada senarai narkotik.

Justeru, katanya, bagi mengelakkan berlaku penyeludupan di sempadan negara, pihaknya mempertingkat rondaan, risikan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sentiasa berusaha meningkatkan risikan dan rondaan bukan sahaja di sempadan negara, malah di seluruh Perlis.

“Kami sentiasa bersiap siaga menghadapi apa jua kemungkinan dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah. Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) juga diarahkan untuk meningkatkan risikan dan mengambil tindakan bersama-sama dengan agensi lain di sempadan,” katanya.

Khamis lalu, media melaporkan Thailand menjadi negara Asia pertama menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya dan membenarkan orang ramai menanam tumbuhan tersebut di rumah.

Dalam perkembangan terbaharu undang-undang di negara itu yang diterbitkan dalam Warta Diraja, ganja dikeluarkan daripada senarai narkotik terlarang.

Ini bermakna pengeluaran, import, eksport, pengedaran, penggunaan dan pemilikan ganja adalah dibenarkan. Penanaman ganja dibenarkan hanya untuk tujuan kesihatan dan perubatan, bukan bagi tujuan rekreasi.

SURINA SAAD

Sementara itu, Surina memberitahu, dasar kerajaan masih menyenaraikan ganja dalam Akta Dadah Berbahaya 1952.

“PDRM akan melaksanakan tanggungjawab kami. Polis perlu ambil tindakan penguatkuasaan yang tegas sebagaimana yang ditetapkan ketika ini selagi undang-undang tidak diubah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Surina memberitahu, sejak awal tahun sehingga Mei lalu sebanyak 361.94 kilogram ganja bernilai RM904,850 dirampas di negeri ini.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 413.93 kilogram ganja dianggarkan bernilai RM1.03 juta dirampas,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN