PM: Segerakan pindaan Akta Alam Sekitar - Utusan Malaysia

PM: Segerakan pindaan Akta Alam Sekitar

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan ucapan perasmian sempena Program Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 yang berlangsung di Taman Tugu. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) perlu membentangkan perkembangan terkini berhubung penggubalan akta berkaitan alam sekitar pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan menjelaskan Malaysia sudah sekian lama membincangkan perihal penggubalan akta berkaitan alam sekitar.

Namun pihaknya belum menerima sebarang maklum balas terperinci mengenainya.

“Saya akan tekankan supaya undang-undang alam sekitar ini perlu disegerakan pada mesyuarat Kabinet, Rabu ini, kerana kita tahu banyak pencerobohan dan sebagainya yang berlaku.

“Di sini (Taman Tugu Negara) contohnya, difahamkan adalah tempat pembuangan sampah haram. Sepatutnya kawasan hutan hujan ini dijaga dengan baik, tetapi dijadikan tempat pembuangan sampah.

“Perkara seperti inilah yang memerlukan undang-undang khas supaya tiada pelanggaran berkaitan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu di sini hari ini.

Berdasarkan cadangan, pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) oleh KASA bertujuan menaikkan denda maksimum sehingga RM10 juta kepada pelaku jenayah pencemaran alam sekitar.

AKAS 1974 digubal untuk mencegah, menghapus, mengawal pencemaran, membaiki alam sekeliling dan bagi maksud yang berkaitan dengannya, dengan lima perkara utama diperuntukkan di bawah akta itu melibatkan pencemaran udara, pencemaran bunyi bising, pencemaran air, pencemaran tanah serta kawalan buangan terjadual.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, pihaknya dijangka membentangkan pindaan AKAS 1974 pada sidang Parlimen akan datang dalam usaha memperkasa penguatkuasaan alam sekitar.

Beliau memaklumkan draf pindaan akta itu kini berada di Pejabat Peguam Negara sebelum dibentangkan di Parlimen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN