ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob hari ini menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail di Stadium Suka Menanti, Alor Setar.
Ismail Sabri meluangkan masa lebih sejam pada majlis tersebut untuk meramah mesra dengan keluarga pengantin dan tetamu.
Majlis resepsi pasangan Ahmad Ikhram Mohd. Yusof, 26, dan Aida Fatini Azhari, 26, berlangsung meriah dengan kalangan tetamu turut mengambil peluang bergambar bersama Perdana Menteri serta beberapa anggota Kabinet yang hadir.
Antara anggota Kabinet yang hadir memeriahkan majlis itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Selain itu, majlis tersebut turut dihadiri Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir serta Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. – UTUSAN










