GEORGETOWN: Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) sebagai badan induk yang mewakili lebih 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India Muslim di Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadab jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) di India, Nupur Sharmah serta Naveen Jindal yang menghina Nabi Muhammad SAW serta isteri baginda, Saidatina Aishah.
Presiden Permim, Shaik Faridhudheen Anverdeen berkata, Permim mengalu-alukan tindakan pantas Wisma Putra memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia untuk menyampaikan penyangkalan terhadap kenyataan biadab kedua-dua ahli politik BJP berkenaan.
”Perbuatan yang tidak bermoral ini seharusnya diambil tindakan yang lebih berat selain hanya menggantung keahlian parti BJP.
”Sebagai parti memerintah seharusnya mereka lebih sensitif terhadap isu-isu yang akan mengundang kemarahan masyarakat Islam seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
BJP yang mentadbir India kembali mencetuskan kontroversi selepas dua jurucakap parti berkenaan mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan.
Jurucakap Kebangsaan BJP, Nupur Sharma digantung daripada keahlian utama Ahad lalu, selepas komentar yang dibuat semasa debat di televisyen, baru-baru ini.
Ketua Operasi Media Delhi BJP, Naveen Kumar Jindal pula dibuang kerja akibat polemik tersebut.
Sharma dilaporkan menghina junjungan besar baginda dan isteri Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah menerusi debat minggu lalu.
Menurut Shaik Faridhudheen, kerajaan India harus memohon maaf kepada seluruh umat Islam atas keterlanjuran ahli-ahli politik yang mewakili parti memerintah, serta mengambil tindakan yang lebih berat terhadap mereka.
”Sebagai sebuah kerajaan, mereka hendaklah menjaga keharmonian serta kebajikan semua kaum.
”Mereka juga tidak sewajarnya menindas hak mengamalkan kepercayaan keagamaan khasnya masyarakat Muslim di negara tersebut yang sering ditindas dengan pelbagai isu-isu seperti menggugat kebebasan bertudung dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN










