bukan wahabi

Perlis tidak berpegang ajaran wahabi – Raja Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (kiri) dalam majlis perasmian penutup Perkampungan Sunnah siri ke-7 bagi tahun 2022 di Masjid Alwi, Kangar, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menegaskan Perlis tidak berpegang  kepada ajaran wahabi.

Baginda bertitah, ada segelintir golongan yang suka melabel orang yang menyeru untuk berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai wahabi dan lain-lain.

Titah baginda, keutamaan di Perlis adalah setiap perkara perlu berteraskan al-Quran dan sunnah dengan melihat kepada huraian dan ijtihad para ulama yang muktabar daripada semua aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah selain tidak terhad pada satu-satu tokoh sahaja.

“Saya tahu, ada segelintir golongan yang suka melabel orang yang menyeru untuk berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah sebagai wahabi dan lain-lain. Di sini saya ingin tegaskan bahawa, negeri Perlis tidak berpegang langsung kepada ajaran wahabi,” titah baginda sempena majlis perasmian penutupan Perkampungan Sunnah siri ke-7 bagi tahun 2022 di Masjid Alwi di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akasyah Khalil.

Seterusnya baginda bertitah, sedar atau tidak, perkembangan ajaran khurafat dalam kalangan masyarakat semakin menjadi-jadi.

“Ada yang percaya air keramat, ada yang percaya nabi hadir ke tempat mereka, ada pula yang percaya roh berpindah dari satu jasad ke jasad yang baru, ada yang minta pertolongan jin dan pelbagai lagi dakwaan karut yang lain.

“Dalam hal ini, negeri Perlis adalah benteng utama Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada segala amalan tahayul, khurafat dan tokok tambah ajaran agama tanpa asas yang benar. 

“Saya menyeru semua yang hadir dan seluruh umat Islam supaya marilah bersama-sama negeri Perlis berganding bahu dan tolong-menolong dalam membela sunnah Rasulullah SAW,” titah baginda.

Sementara itu, baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Mufti Perlis kerana telah berjaya menganjurkan program Perkampungan Sunnah selepas dua tahun tidak dapat dilaksanakan ekoran pandemik Covid-19.

Titah baginda, sekalung tahniah juga diucapkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) serta jabatan-jabatan lain di bawah kerajaan negeri yang memberi kerjasama menjayakan program ini.

“Selama program ini dilaksanakan, terdapat ramai tokoh yang hadir sama ada dari dalam atau luar negara. Ini menunjukkan keluasan dan keterbukaan Perlis dalam mendengar dan menilai pandangan yang diajukan. 

“Sehubungan itu, saya menyeru mana-mana yang berbeza pandangan dengan kaedah yang dipegang oleh Perlis, tidak terus menerus melemparkan tuduhan tidak munasabah tanpa berbincang serta mendapatkan maklumat yang lengkap dan sahih,” titah baginda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN