PETALING JAYA: Polis setakat ini memanggil enam penganjur perhimpunan Majlis Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit RU6622 di Tugu Negara, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua mereka hadir di Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan.
“Kesemua mereka memberi kerjasama semasa proses rakaman percakapan dijalankan
“Susulan itu, kita membuka siasatan di bawah Seksyen 9 Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Tambah Noor Delhan, beberapa individu lain akan dipanggil bagi membantu siasatan berkaitan penganjuran perhimpunan tersebut.
Semalam, Sekretariat Majlis Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit RU6622 menuntut supaya kerajaan menyelaraskan pencen veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan memberi pencen kepada anggota veteran tidak berpencen bagi meringankan beban mereka yang tergolong dalam kategori B40.
Pengerusi Bersama dan Penasihat Undang-Undang Reunion Perjumpaan Bekas Perajurit RU662, Mejar (B) Mior Rosli Mior Mohd Jaafar dilaporkan berkata, perhimpunan itu diadakan bagi menyampaikan tiga tuntutan utama kepada kerajaan.
Tiga tuntutan utama iaitu penyelerasan pencen, pemberian pencen kepada veteran yang tidak menerima pencen dan buka ruang untuk beri pengampunan kepada veteran ATM supaya mereka dapat menerima pencen serta diiktiraf sebagai veteran.
“Perhimpunan hari ini bukan satu bentuk ugutan terhadap Kementerian Pertahanan tetapi sudah lapan tahun saya menggunakan saluran betul untuk perjuangan ini tapi tiada hasil,” katanya.- UTUSAN










