bangunan Sultan Iskandar

Perdana Menteri arah atasi segera kerosakan Bangunan Sultan Iskandar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Onn Hafiz Ghazi melakukan tinjauan mengejut di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, BSI, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri mengarahkan kerosakan peralatan dan kemudahan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dibaiki segera.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengadakan tinjauan mengejut ke pintu masuk menghubungkan Johor dan Singapura itu mahu ia diselesaikan agar dapat memberi keselesaan kepada pengembara yang berulang-alik.

“Saya mendapati kemudahan-kemudahan termasuk pengangkutan awam dalam keadaan baik kecuali kerosakan eskalator dan autogate untuk pemegang pasport Malaysia.

“Kekurangan ini perlu diselesaikan segera untuk kemudahan Keluarga Malaysia dan pengembara dari luar kerana ia merupakan salah satu pintu masuk utama negara,” katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri diiringi Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi melawat kompleks berkenaan yang kini sudah kembali pulih selepas sempadan negara dibuka semula sepenuhnya.

Beliau turut mengambil peluang untuk bertemu dengan orang ramai yang berada di kompleks tersebut sama ada mereka yang mahu kembali ke Malaysia atau memasuki Singapura.

Selain BSI, ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura juga berulang-alik setiap hari melalui pintu masuk di Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah.

Selepas mengadakan tinjauan tersebut, Ismail Sabri turut diterima mengadap oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Turut berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Raja Muda Johor, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail.

Pertemuan dengan baginda berlangsung di Istana Bukit Serene dengan beliau turut diraikan pada majlis santapan tengah hari bersama Sultan Ibrahim.

Pada sebelah malam, Ismail Sabri akan merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN