PUTRAJAYA: Jumlah eksport udang negara mencatatkan peningkatan sebanyak 23.6 peratus kepada 38,689 tan metrik tahun lalu, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Menurut beliau, jumlah import daripada hasil perikanan itu turut meningkat sebanyak 30 peratus kepada 35,322 tan metrik.
“Penggunaan ikan per kapita di Malaysia direkodkan pada 42.7 kilogram setiap orang setahun pada 2020 iaitu lebih tinggi daripada purata global iaitu 20.5 kilogram.
“Tahap Sara Diri (SSL) pula adalah sebanyak 95.27 peratus dengan udang menyumbang sebanyak 102.9 peratus SSL daripada perikanan. Jumlah pengeluaran udang turut mencapai 135,659 metrik tan pada 2020 yang mana 36 peratus terdiri daripada udang ternakan,” katanya ketika berucap pada Persidangan dan Pameran Perdagangan Udang Dunia 2022 di sini.
Menerusi ucapannya, Ahmad turut menekankan mengenai peranan yang dimainkan oleh sektor perikanan di negara ini dalam menyediakan pekerjaan, perolehan pertukaran asing dan keselamatan makanan.
Jelasnya, kerajaan melalui MAFI sentiasa memberi perhatian terhadap peranan penting yang dimainkan oleh nelayan dalam memastikan kesinambungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan.
Justeru, beliau berharap semua jabatan perikanan dapat bekerjasama dalam memainkan peranan masing-masing sebagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab meningkatkan kedudukan sosioekonomi nelayan, memajukan industri perikanan negara serta memastikan bekalan ikan mencukupi.
“Subsektor perikanan ini menyumbang kira-kira 11 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu mengumpul lebih 250 peserta yang terlibat secara fizikal dan maya membabitkan 25 buah negara.
Jelasnya, persidangan tersebut bukan sahaja memberi dimensi baharu kepada pasaran udang peringkat dunia malah sebagai platform kepada pemain industri untuk bertukar pandangan serta mencari kaedah mendepani cabaran perdagangan dan pasaran global. – UTUSAN










