Penyelia asrama hadapi 26 pertuduhan palsu dokumen, terima suapan - Utusan Malaysia

Penyelia asrama hadapi 26 pertuduhan palsu dokumen, terima suapan

HAZALILAH Ahmad didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas 26 pertuduhan memalsukan dokumen dan menerima suapan berjumlah RM636,095 antara Oktober 2015 hingga Januari 2020. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang penyelia asrama sebuah sekolah sukan di Bandar Penawar, Kota Tinggi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 26 pertuduhan memalsukan dokumen dan menerima suapan berjumlah RM636,095 antara Oktober 2015 hingga Januari 2020.

Tertuduh, Hazalilah Ahmad, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan 22 pertuduhan pertama, Hazalilah didakwa memalsukan dokumen berkaitan bekalan makanan bermasak Islam ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Bandar Penawar, Kota Tinggi sejak 2016 hingga 2017 dengan nilai RM504,752.

Bagi pertuduhan ke-23 dan ke-24, ibu kepada empat anak itu didakwa gagal melaporkan wang sogokan berjumlah RM61,600 yang dimasukkan ke akaun bank milik suaminya bagi membantu menguruskan dokumen tuntutan pembekalan makanan bermasak Islam kepada pelajar asrama sekolah berkenaan antara April 2019 hingga Januari 2020.

Bagi pertuduhan ke-25 dan ke-26, tertuduh didakwa menerima wang suapan berjumlah RM69,743.04 menerusi akaun bank milik suaminya berkaitan tugas rasmi sebagai Penyelia Asrama dengan memperakukan kerja dilaksanakan bagi pembekalan makanan bermasak Islam kepada pelajar asrama sekolah sama dalam tempoh Oktober 2015 hingga Januari 2016.

Atas semua pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, Seksyen 165  Kanun Keseksaan dan Seksyen 25 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Peguam tertuduh, Noor Nabila Shamsudin memohon agar mahkamah memberikan jaminan minimum terhadap tertuduh kerana Hazalilah bekerja dengan gaji RM1,300 sebulan, manakala suaminya yang bekerja sendiri tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Selain itu, tertuduh turut menanggung empat orang anak yang berusia antara 12 hingga 16 tahun dengan dua daripada mereka, iaitu sepasang kembar berusia 13 tahun mempunyai penyakit kencing manis.

“Tertuduh turut menjaga kedua ibu bapanya yang sudah berusia dan menghidap penyakit jantung, selain turut menanggung bapa mentua,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membebaskan tertuduh dengan ikat jamin sebanyak RM30,000 dan turut mengarahkannya menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan.

Ahmad Kamal turut menetapkan 22 Ogos  depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya