SEPANG: Pengusaha makanan di rumah digalakkan untuk mendaftar perniagaan mereka di bawah Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan dan kualiti makanan adalah terjamin.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, dengan mendaftar perniagaan tersebut di bawah kementerian melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), pengusaha perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Ia tidak wajib dan mereka yang memohon, perlu menepati protokol keselamatan dan kualiti makanan termasuk dari segi penyediaan, persekitaran dan penghantaran. Sebagai contoh mengambil suntikan typhoid dan ia seperti mana di restoran. Kita akan senaraikan pengusaha ini di dalam senarai pengusaha serta dipaparkan pada laman web kementerian,” katanya dalam sidang akbar sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 di sini hari ini.
Beliau berkata, bagaimanapun permohonan pendaftaran dengan pihak kementerian melibatkan pengusaha makanan di rumah adalah tidak diwajibkan.
“Kita masih buka permohonan secara sukarela kerana tidak mahu menjadi penghalang kepada peniaga kecil dan mikro untuk memulakan perniagaan. Kita harap pelanggan akan buat keputusan bijak. Bukan kita kata tiada senarai Kementerian Kesihatan, makanan itu tidak selamat. Jika berdaftar dan disenaraikan, ia terjamin,” katanya.
Mengulas lanjut, Khairy berkata, lebih banyak permintaan pembelian makanan melalui platform dalam talian p-hailing dan kementerian bekerjasama rapat dengan syarikat tersebut untuk meningkatkan kesedaran mengenai kualiti dan keselamatan dalam kalangan vendor dan pengusaha.
“Lebih-lebih lagi apabila kita lihat banyak perniagaan makanan di rumah susulan gaya hidup berubah sejak pandemik Covid-19 apabila lebih ramai bekerja di rumah selain terdapat peniaga yang memulakan perniagaan. Justeru, kualiti dan keselamatan makanan penting untuk memastikan Keluarga Malaysia dapat makanan yang selamat,” jelasnya.
Tambah beliau, penyelidikan terhadap keselamatan, kesihatan dan kualiti makanan di negara ini juga akan ditingkatkan seiring dengan teknologi pada masa ini lebih-lebih lagi dengan adanya makanan boleh dihasilkan menerusi makmal seperti daging.
“Sehubungan itu, terdapat beberapa pindaan yang sedang diteliti termasuk status BKKM sama ada dikekalkan atau dinaik taraf sebagai pihak berkuasa keselamatan makanan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan juga sentiasa mengawal dan memantau jualan makanan di dalam talian termasuk yang diimport malah, dari semasa ke semasa pihak tersebut turut melakukan ujian terhadap kualiti dan keselamatan makanan.
“Jika terdapat aduan yang tidak melepasi piawaian ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan serta undang-undang Akta Makanan 1983, kementerian bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk pastikan jualan tidak lagi dibuat di dalam talian,” tegas beliau. – UTUSAN










