Pengurusan kes rayuan kerani wanita 29 Ogos

Pengurusan kes rayuan kerani wanita 29 Ogos

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan menetapkan 29 Ogos ini untuk mengetahui perkembangan rayuan seorang kerani wanita terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak remaja, lima tahun lalu.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Sam Ke Ting memberitahu wakil media bahawa rekod rayuan belum siap.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan satu lagi tarikh pengurusan kes pada 29 Ogos ini untuk memaklumkan perkembangan rayuan.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Tan Chai Wei pada sesi pengurusan kes yang dijalankan secara sidang video hari ini.

Pada 18 April lalu, kerani wanita itu mendapat peluang terakhir untuk merayu hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 atas kesalahan tersebut.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk P. Ravinthran sebulat suara turut membenarkan Ke Ting mengemukakan enam persoalan undang-undang dalam rayuan yang akan didengar pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali turut membenarkan Ke Ting, 27, dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut membenarkan permohonannya agar pelaksanaan hukuman penjara dan denda ditangguhkan sementara menunggu rayuan didengar dan diputuskan.

Sementara itu, mahkamah turut membenarkan permohonan peguam Ravinder Singh yang mewakili Majlis Peguam untuk bertindak sebagai sahabat mahkamah (Amicus Curiae) dalam rayuan kelak.

Bagaimanapun, panel itu menolak permohonan MCA dan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah untuk bertindak sebagai sahabat mahkamah mewakili Persatuan Alumni Rumpun Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM).

Antara persoalan undang-undang itu ialah sama ada keterangan bersumpah tertuduh boleh diterima sebagai penjelasan kepada pembelaannya dan turut disokong dengan keterangan lain.

Persoalan lain ialah sama ada intipati utama kesalahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 khususnya `pencipta situasi merbahaya’ berpunca daripada tertuduh atau kumpulan basikal.

Ia termasuk sama ada wujud beban atas tertuduh untuk membuktikan tanggungjawab untuk memandu dengan lebih berhati-hati berbanding kumpulan basikal yang menghalang laluan utama.

Ke Ting memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Johor yang mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskannya daripada kesalahan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya