BENTONG: Lebih 50 penduduk Janda Baik di sini menggesa pihak yang terlibat dengan projek Rancangan Tempatan Daerah (RTD) dan Rancangan Khas Kawasan (RKK) di kawasan kampung berkenaan, tampil memberi penjelasan kepada penduduk berhubung pembangunan kampung tradisi tersebut.
Penduduk melahirkan rasa kesal apabila sesi pendengaran awam yang dijadualkan hari ini di Majlis Perbandaran Bentong (MBP) ditunda pada satu masa yang belum diketahui.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman berkata, penjelasan itu penting bagi membincangkan kandungan RKK dan RTD yang tidak dipersetujui penduduk.
“Ini bukan isu politik. Ini isu rakyat. Saya sebagai wakil rakyat cuba bantu ketengahkan isu yang melibatkan orang kampung.
“Pada 2018 atau awal 2019, diadakan satu pertemuan dengan pihak terlibat dan perbincangan apa terbaik untuk penduduk Janda Baik namun draf yang dikeluarkan berlainan dengan apa yang dipersetujui penduduk kampung.
“Bukanlah penduduk ingin melawan, tapi mahu ada satu sesi dialog. Mahu pemahaman yang jelas. Ada beberapa tidak jelas dan tidak boleh diterima langsung,” katanya dalam sidang akhbar khas di Riverside Janda Baik, hari ini, yang dihadiri lebih 50 penduduk kampung terlibat dengan RKK dan RTD tersebut.
Young Syefura berkata, sudah dua kali sesi dialog atau pendengaran awam berkenaan ditangguhkan dengan hanya diberikan notis singkat.
Penduduk, Rosdina Saripudin, 56, mendakwa, penduduk tidak pernah diberikan sebarang penjelasan berkaitan RTD dan RKK terbabit dan tujuan sebenar pembangunan di kawasan terlibat.
Katanya, sejak isu terbabit dibangkitkan pada Julai 2019, tiada peneranga jelas dan terperinci diberikan kepada penduduk yang terlibat.
“Kami tidak menolak sebarang pembangunan di kawasan perkampungan kami ini namun kami melihat draf pembangunan yang diberikan lebih dari sepatutnya.
“Sebagai contoh, sungai yang ingin dilebarkan sehingga 20 meter sebelah kiri dan kanan serta jalan yang juga akan dibesarkan sehingga 30 meter kiri dan kanan. Kami tertanya-tanya, apakah signifikan disebalik pelebaran sungai dan jalan raya sehingga menjejaskan tanah dan rumah penduduk,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Kasimah Ismail, 50, pula berkata, mereka telah beberapa kali menghantar bantahan namun masih belum menerima sebarang maklum balas dari pihak yang terlibat.
“Jangan kata kami fitnah dan hasut. Kami ada bukti setiap bantahan yang dihantar kepada pihak terlibat. Kami cuma minta pihak terlibat turun bertemu dengan kami bagi memberi penjelasan,” katanya. – UTUSAN










