PUTRAJAYA: Pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 luar biasa berbanding situasi pelajar yang terpaksa menempuh cabaran getir mengikuti dua tahun pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian kesan penularan pandemik Covid-19.
Apatah lagi, kumpulan pelajar itu merupakan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) di Tingkatan 1 pada tahun 2017 bertujuan menyediakan calon dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Biarpun sejumlah 382,156 calon menduduki peperiksaan itu berbanding 407,097 calon berdaftar, pencapaian keseluruhan direkodkan disifatkan baik dan berpuas hati apabila seramai 9,696 calon mendapat semua A dalam setiap mata pelajaran dengan nilai GPN dicatatkan pada kadar 4.86.
Seramai 336,630 calon meliputi 88.09 peratus pula layak menerima sijil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperoleh sekurang-kurangnya lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah sepertimana syarat pensijilan SPM yang ditetapkan mulai tahun 2013.
Sejumlah 211,334 calon (55.29 peratus) lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki dan turut boleh dibanggakan apabila sebanyak 69.1 peratus daripada 1,411 Calon Berkeperluan Khas (CBK) layak menerima sijil SPM 2021.
Tidak wajar
Ketua Pengarah Pendidikan, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid ketika mengumumkan analisis peperiksaan itu berkata, pencapaian SPM 2021 tidak wajar dibandingkan dengan tahun lalu kerana calon sebelum ini menggunakan format Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
Mengikut rekod, nilai GPN pada SPM 2020 adalah 4.80 yang mana nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik, namun jumlah calon mendapat semua A meningkat berbanding tahun lalu iaitu 9,411 calon pada SPM 2020.
Beliau berkata, calon ini juga melalui pengalaman pembelajaran yang mencabar dalam norma baharu sepanjang mereka berada di Tingkatan 4 dan 5 akibat pandemik Covid-19 dan diakui bukan mudah untuk membuat persediaan menduduki peperiksaan utama seperti SPM dengan keadaan pembelajaran secara bersemuka yang sangat terhad.
“Pelaksanaan sesi akademik 2021/2022 telah memberi ruang kepada calon untuk meningkatkan kesediaan bagi menghadapi peperiksaan dengan lebih baik.
“Berbekalkan kekuatan mental, fizikal, emosi dan semangat juang yang tinggi serta sokongan daripada pelbagai pihak, calon peperiksaan SPM 2021 telah menduduki peperiksaan dengan jayanya,” katanya.
Zamani berkata, menerusi pelaksanaan KSSM, peperiksaan SPM 2021 menawarkan sebanyak 95 mata pelajaran dengan jumlah kertas peperiksaan sebanyak 180 merangkumi 27 mata pelajaran baharu dan 68 mata pelajaran sedia ada.
Dijajarkan
Di samping itu, katanya, calon SPM 2021 juga menduduki Ujian Lisan Bahasa Melayu, Ujian Lisan Bahasa Inggeris yang dijajarkan dengan Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) dan Ujian Amali Sains (UAS).
Pada masa sama, jelas beliau, KPM juga memperkenalkan Ujian Amali Sains (UAS) bagi mata pelajaran Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Tambahan untuk menggantikan Ujian Amali Bertulis untuk mengukur penguasaan kemahiran proses sains dan kemahiran manipulatif calon.
“Bagi kategori prestasi mata pelajaran baharu, mata pelajaran Seni Halus 2D, Tarian, Apresiasi Tari menunjukkan prestasi tertinggi, manakala bagi kategori prestasi mata pelajaran sedia ada dengan format baharu, mata pelajaran Bahasa Kadazandusun menunjukkan prestasi tertinggi.
“Bagi kategori prestasi mata pelajaran sedia ada dengan format sedia ada, mata pelajaran Turath Dirasat Islamiah menunjukkan prestasi tertinggi. Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2021 yang lengkap boleh diperoleh dengan melayari portal Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my,” katanya.- UTUSAN










