KOTA BHARU : Pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO adalah perkara biasa dan dibuat mengikut perlembagaan parti.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, insiden pemecatan daripada jawatan sudah acap kali berlaku dalam parti dan kes Tajuddin adalah salah satu daripadanya.
Menurutnya, sebelum ini pemecatan pernah berlaku melibatkan Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.
“Kuasa presiden adalah mengikuti autoritinya dan orang yang kena gugur sudah tentu terasa. Tan Sri Tajuddin buat sidang media panjang lebar, tapi orang orang lain diam sahaja,” katanya selepas ditemui pemberita pada sidang media khas diskuan yuran bagi pelajar latihan industri di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kampus Kota Bharu Pengkalan Chepa hari ini.
Mohamad Fatmi memberitahu, keputusan yang dilakukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak salah.
Katanya, semua pihak perlu berlapang dada dan menghormati keputusan yang dibuat oleh parti. – UTUSAN










