Pemaju gagal bina 153,712 rumah mampu milik Johor sejak 25 tahun lalu

Pemaju gagal bina 153,712 rumah mampu milik Johor sejak 25 tahun lalu

MOHD. Jafni ketika menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Kota Iskandar, Johor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pemaju perumahan ‘berhutang’ sebanyak 153,712 unit rumah mampu milik yang gagal disiapkan mengikut perjanjian dengan kerajaan Johor sejak 25 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, jumlah itu berdasarkan data kelulusan Kebenaran Merancang (KM) Pelan Susunatur di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri ini.

Menurutnya, kegagalan pembinaan tersebut perlu diatasi dengan segera menggunakan strategi dan pemantauan yang berkesan, walhal projek rumah mewah telah siap dibina. 

“Kerajaan negeri telah meminta Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) untuk merangka pembentukan ‘Planning, Design and Rewiew Comittee’ (PDRC) yang berperanan untuk menilai, memantau dan memudah cara permohonan cadangan pembangunan perumahan mampu milik.

“Jawatankuasa yang akan dianggotai pelbagai jabatan serta agensi yang berkaitan seperti PBT, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Johor, PlanMalaysia@Johor dan agensi-agensi utiliti lain akan menjadi platform utama bagi inisiatif pembinaan segmen perumahan untuk kumpulan B40 dan M40.

“PKPJ juga akan jadi ‘pangkalan data berpusat’ bagi memastikan koordinasi yang lebih efisien untuk pembangunan perumahan mampu milik dan perumahan transit oleh semua agensi kerajaan negeri, agensi Persekutuan dan pemaju hartanah swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pandak Ahmad (BN-Kota Iskandar) tentang inisiatif kerajaan negeri untuk menyelesaikan masalah kekurangan rumah mampu milik di Johor pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Jafni, kerajaan negeri menyasarkan untuk membina sebanyak 21,139 unit rumah mampu milik secara berperingkat-peringkat hingga tahun 2026. 

“Sasaran pembinaan untuk akhir tahun ini dan tahun 2023 adalah sebanyak 5,033 rumah mampu milik termasuk penawaran. Johor juga telah mengenal pasti tanah kerajaan yang bersesuaian bagi pembinaan perumahan untuk kumpulan B40 dan M40, sama ada perumahan mampu milik yang boleh dibeli mahupun perumahan transit bagi memenuhi keperluan Bangsa Johor,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN