PdPR tidak halang pasangan kembar dapat 9A+ - Utusan Malaysia

PdPR tidak halang pasangan kembar dapat 9A+

ANIS Sofiah Zolkharnain (dua dari kanan) dan Anis Solehah bersama ibu bapa mereka selepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua tahun terjejas akibat pandemik Covid-19 dan terpaksa melalui sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) namun tidak menghalang pasangan kembar memperoleh keputusan cemerlang 9A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kejayaan cemerlang yang diperoleh Anis Sofiah Zolkharnain,18, dan Anis Solehah,18, itu sekali gus mengangkat dua beradik tersebut sebagai pelajar terbaik SPM 2021 peringkat negeri ini.

Kata pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra itu, fokus di dalam kelas, PdPR dan melakukan latih tubi serta ulang kaji menjadi kunci kejayaan mereka.

Anis Sofiah berkata, dia jarang mengikuti kelas tuisyen, sebaliknya sentiasa mengikuti kelas PdPR dan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang dilaksanakan.

“Syukur kepada Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan ini. Selain itu, kami juga berterima kasih kepada ibu bapa, guru-guru, alumni dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atas kejayaan ini.

“Kami sudah pun mengisi borang Unit Pusat Universiti (UPU) untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Asasi Sains Hayat di Universiti Malaya (UM) bagi mencapai cita-cita kami menjadi doktor.

“Saya banyak membaca tulisan dari doktor-doktor terkenal seperti Dr. Imelda Balchin dan Dr. Amalina Bakri. Mereka adalah inspirasi saya untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu adiknya, Anis Solehah pula memberitahu, dia tidak menafikan agak sukar untuk menyesuaikan diri belajar secara dalam talian semasa tempoh pandemik.

“Di rumah, ada masanya kami belajar bersama dan ada juga masa kami belajar bersendirian. Saya berharap kami berdua dapat melanjutkan pelajaran di universiti dan aliran yang sama,” jelasnya.

Dalam pada itu, bapa mereka, Zolkharnian Abidin, 54, tidak menyangka anak keempat dan bongsunya itu mendapat keputusan cukup cemerlang.

“Seperti kita ketahui mereka terpaksa belajar dalam situasi yang tidak begitu sempurna semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta tidak dapat tinggal di asrama sepenuhnya. Saya rasa, keputusan ini mungkin lahir daripada kesedaran mereka sendiri untuk menjadi pelajar yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN