Pakatan Harapan bantah GST dilaksana semula

Pakatan Harapan bantah GST dilaksana semula

PENGENALAN semula GST boleh bantu tingkatkan pendapatan kerajaan seterusnya menyalurkan lebih bantuan kepada golongan rentan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju untuk kerajaan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan yang sistem percukaian itu akan kembali. 

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini berkata, bantahan terhadap GST berikutan keadaan inflasi, kenaikan kos sara hidup dan pendapatan isi rumah yang berkurang akibat pandemik Covid-19. 

“Perdana Menteri perlu diingatkan bahawa majoriti rakyat Malaysia telah menolak GST dalam pilihan raya umum lalu. 

“Pengenalan semula GST akan mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak. Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan amat dahsyat. 

“Tidak munasabah kerajaan bercadang mengutip lebih banyak cukai dari rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urus tadbir kerajaan berjaya dilaksana. 

“Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme,” katanya. 

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau. 

Menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia di Tokyo baru-baru ini, Ismail Sabri dilaporkan tidak menolak kemungkinan mengembalikan GST sebagai cara berkesan menambah pendapatan negara bagi menangani masalah inflasi dan kos sara hidup rakyat. 

Beliau berpandangan, sistem percukaian itu mampu mengembangkan pendapatan asas negara selain membantu kerajaan menampung pemberian subsidi bagi keperluan rakyat. 

GST dilaksanakan kerajaan semasa pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 April 2015 berkadar enam peratus dan menjadi sebahagian daripada program reformasi cukai kerajaan untuk mempertingkatkan kemampuan, keberkesanan dan ketelusan pentadbiran serta pengurusan cukai.

Bagaimanapun, setelah Barisan Nasional (BN) tumbang dan riwayat pentadbiran Najib berakhir selepas terpalit dengan beberapa skandal berprofil tinggi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH) ketika itu memansuhkan GST dan mengembalikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada 1 September 2018. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN