Organ suami bantu Nuridayu teruskan hidup

Organ suami bantu Nuridayu teruskan hidup

organ
NURIDAYU Jamil yang menerima organ daripada Ilyashak Omar kini meneruskan hidup dengan lebih selesa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas setahun menderita masalah organ dalaman gagal berfungsi, seorang wanita mendapat sinar baharu selepas menerima buah pinggang suaminya yang membantunya hidup lebih selesa.

Nuridayu Jamil, 35, yang menjalani proses pemindahan buah pinggang bulan lalu berkata, sebelum melakukan pembedahan itu, dia sukar menjalani aktiviti kehidupan harian.

Katanya, selepas sebulan menerima organ tersebut daripada suaminya, Ilyashak Omar, keadaan hidupnya kini lebih baik malah mampu menikmati juadah makanan seperti individu biasa.

“Semasa berusia 16 tahun saya disahkan menghidap penyakit kencing manis. Selepas berkahwin dan hamil untuk kali kedua, saya ada penyakit darah tinggi pula sebelum enam bulan kemudian doktor maklumkan saya mempunyai komplikasi buah pinggang.

“Sebelum melalui pemindahan organ, penyakit saya berada di tahap lima kegagalan buah pinggang sejak setahun lalu. Saya syukur penderma organ adalah suami sendiri dan kami berdua beransur pulih selepas pembedahan walaupun masih berada dalam pemantauan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia semalam.

Satu peratus

Semalam, akhbar ini melaporkan, tidak sampai satu peratus atau hanya 2,641 daripada 510,186 yang berikrar sebagai penderma organ menunaikan janji mereka sejak 1997 hingga April 2022.

Statistik Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) menyebut, hanya 2,641 pembedahan pemindahan dilakukan sejak tempoh itu, termasuk 1,752 pemindahan buah pinggang daripada penderma hidup dan 651 daripada penderma selepas meninggal dunia (kadaverik).

Sedangkan pada masa yang sama, 49,111 pesakit buah pinggang tahap lima masih menunggu organ daripada penderma dan terpaksa jalani rawatan dialisis.

Menurut Nuridayu, pembedahan itu memberi harapan baharu untuknya meneruskan kehidupan dan berharap pesakit-pesakit sepertinya turut berpeluang menjalani pembedahan organ.

Seorang lagi penerima organ, Nur Syahira Marzuki, 25, turut berharap lebih banyak penderma yang sudah berikrar menjalankan tanggungjawab mereka membantu pesakit sepertinya.

“Selama saya berada di hospital memang saya dimaklumkan memang kurang penderma di Malaysia. Kebanyakannya adalah daripada orang yang sudah meninggal. Jadi saranan saya kepada orang di luar sana jangan takut untuk menderma organ.

“Langkah ini mampu mengubah hidup seperti seperti saya yang menderita komplikasi buah pinggang. Ia membantu kami untuk menjalani kehidupan seperti biasa,” ujarnya.

SEORANG pesakit terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan penderma. – AFP

Keluarga disaran jadi penderma hidup

Sementara itu, orang ramai disaran menderma organ kepada ahli keluarga mereka yang menghidap penyakit kegagalan buah pinggang ekoran tempoh menunggu daripada penderma selepas kematian sangat lama.

Malah, mereka juga mungkin tidak berpeluang mendapatkan organ bagi tujuan transplantasi kerana secara purata, peningkatan pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESRD) setiap tahun adalah antara empat hingga 4.5 peratus, yang mana pesakit memerlukan rawatan dialisis atau transplantasi.

DR. ROSNAWATI YAHYA

Pakar Perunding Nefrologi Hospital Kuala Lumpur, Dr. Rosnawati Yahya berkata, pesakit buah pinggang terpaksa menunggu sehingga puluhan tahun untuk mendapatkan organ daripada penderma.

“Ada yang terpaksa bergantung kepada rawatan dialisis selama 12 tahun sebelum berjaya mendapat organ memandangkan pemberian organ diutamakan kepada pesakit yang sudah lama menjalani rawatan dialisis.

Rosnawati berkata, pendermaan organ semasa hidup hanya dibenarkan kepada ahli keluarga terdekat yang mempunyai pertalian darah termasuk pasangan kembar seiras, waris keluarga terdekat dan pasangan suami atau isteri yang sah.

“Jika seseorang yang tiada pertalian darah mahu menderma organ, dia perlu menjalani penilaian oleh jawatan kuasa bebas dilantik Kementerian Kesihatan menerusi Unrelated Tranplant Approval Comittee (UTAC).

“Selain itu, permohonan boleh dipertimbang sekiranya tiada ahli keluarga terdekat yang boleh menderma, tiada penderma selepas kematian dan bertujuan menyelamatkan nyawa.” jelasnya.

DR. FAIROZ AZLIM MUSLIM

Persepsi antara cabaran program derma organ

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah (Perubatan III), Hospital Kuala Lumpur, Dr. Fairoz Azlim Muslim berkata, antara cabaran menjayakan program-program pendermaan organ adalah persepsi rakyat dari segi agama.

“Kebanyakan kes melibatkan pendermaan organ selepas kematian adalah tidak mendapat kebenaran waris walaupun sudah berikrar. Walaupun sudah berikrar, waris perlu dimaklumkan dan mereka berhak untuk tidak membenarkan melakukan pembedahan tersebut.

“Antara cabaran lain adalah persepsi rakyat berhubung pendermaan organ dari segi agama yang mana mereka berpendapat prosedur itu menyeksa si mati. Perkara itu tidak benar kerana kami mengendalikan prosedur itu sama seperti pembedahan yang dilakukan kepada pesakit hidup,” katanya.

DR. WAN SALIM WAN MOHD. NOOR

Usah skeptikal jadi penderma

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, perlu diakui hakikat majoriti umat Islam masih tidak atau kurang memahami isu-isu kontemporari yang tidak ditemukan penyelesaiannya di dalam kitab-kitab klasik atau turath.

Menurut beliau, antara isu semasa yang memerlukan kreativiti para ulamak dan pemikir muslim masa kini adalah termasuk pemindahan organ daripada orang mati atau masih hidup.

“Sedangkan ramai ulama berwibawa termasuk Profesor Yusuf Qaradhawi, malah para ulamak Universiti Al-Azhar, Mesir mengeluarkan fatwa tentang keharusan pendermaan organ daripada seorang manusia kepada seorang manusia lain dengan syarat-syarat tertentu.

“Ia seperti perlu mendapat keizinan daripada penderma dan pemindahan anggota tidak memudaratkannya. Tidak disyaratkan penerima organ beragama Islam sebab anggota tubuh seluruh manusia adalah dianggap muslim secara semula jadi,” katanya.

Mengulas mengenai sikap skeptikal dan keraguan umat Islam mengenai keharusan pendermaan organ, Wan Salim berkata, para pendakwah dan asatizah mesti memainkan peranan dalam menjelaskan hukum itu kepada masyarakat.

“Antara butiran yang perlu dijelaskan dalam isu ini adalah agama Islam menganggap pendermaan organ kepada sesama manusia adalah termasuk dalam amal kebajikan dan saling membantu. Ia sangat digalakkan oleh Islam yang mana penderma mendapat pahala daripada Allah SWT.

“Ini juga termasuk sebahagian maqasid syariah iaitu memelihara myawa manusia. Di dalam al-Quran dinyatakan barangsiapa membantu seorang manusia lain untuk meneruskan kehidupannya maka seolah-olah dia membantu seluruh manusia meneruskan kehidupan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya