Nelayan maut selepas terjatuh dari bot - Utusan Malaysia

Nelayan maut selepas terjatuh dari bot

SEORANG nelayan yang terjatuh dari bot semasa memukat ikan ditemukan maut akibat lemas di perairan Pulau Jerejak, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Seorang nelayan yang terjatuh dari bot semasa memukat ikan ditemukan maut akibat lemas di perairan Pulau Jerejak, di sini semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, mayat mangsa yang dikenali sebagai Rajendran, 56, ditemukan kira-kira pukul 3.15 petang semalam.

Kata beliau, pihaknya menerima panggilan telefon dari Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi melalui MERS 999 berhubung kejadian seorang nelayan terjatuh dari bot dan disyaki lemas semasa memukat ikan bersama rakan.

“Sebaik sahaja menerima laporan itu, bot KILAT 26 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT). Ketika tiba di lokasi kejadian, anggota KILAT 26 menemukan mangsa terapung dipercayai telah meninggal dunia berhampiran bot yang dinaiki bersama rakannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, rakan mangsa yang dikenali sebagai Murugan yang juga saksi kejadian memaklumkan, mangsa terjatuh ke dalam laut selepas kakinya terbelit pada pukat.

”Anggota bot KILAT 26 telah membawa mayat mangsa ke atas bot yang dinaiki dan diiring ke jeti Polis Marin Batu Uban. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Balai Polis Perai sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya oleh pasukan St. John Ambulans,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan mengutamakan langkah-langkah keselamatan ketika melakukan sebarang aktiviti semasa berada di laut.

”Orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN