PETALING JAYA: Pencerobohan dilakukan oleh pihak berkuasa China di ruang udara dan perairan Laut China Selatan mengundang kebimbangan nelayan Sarawak yang terkesan dengan kehadiran pesawat dan kapal peronda dari negara tersebut.
Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien berkata, lebih mengejutkan bukan sahaja segelintir nelayan khususnya di Miri dibuli pengawal laut China, malah terdapat nelayan haram didakwa mengambil hasil laut sehingga menjejaskan hasil tangkapan mereka.
“Saya kecewa sebenarnya kerana bagaimana isu ini dipandang begitu remeh? Kerajaan perlu bertegas, janganlah diam sahaja. Jangan biar orang luar masuk, ceroboh kemudian beri alasan tidak masuk akal.
“Nelayan-nelayan kita yang sedang begitu sengsara dengan pencerobohan ini. Perikanan adalah sumber kehidupan para nelayan kita, andainya masalah berlarutan kesan negatif ini adakah kita akan berdepan pula isu bekalan laut kelak?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Larry Sng menggesa kerajaan bertindak tegas dalam isu pencerobohan China di Laut China Selatan kerana jelas mencabul kedaulatan negara.
Katanya, Malaysia tidak bersendirian soal itu apabila Filipina, Vietnam dan Brunei semuanya mempertikaikan secara rasmi dalam konflik Laut China Selatan sekali gus memperlihatkan pendirian tegas negara ASEAN terhadap konflik itu.
“Saya juga sedar isu ini juga sedang dihadapi nelayan di negara jiran juga, kita perlu bawa perkara ini kepada perhatian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu untuk tangan segerai perkara ini, janganlah duduk diam,” katanya.
Beliau bimbang ancaman di Laut China Selatan itu boleh melemahkan sebarang usaha dalam membantu dan membangunkan ekonomi nelayan di Sabah dan Sarawak.
“Hakikatnya kerajaan perlu bertegas dan tidak sesekali berkompromi dalam perkara yang mencabul kedaulatan negara kerana pendekatan itu sahaja boleh memberi peringatan kepada negara lain,” jelasnya. – UTUSAN










