MPM syor ‘brain gain’ untuk kumpul bakat tempatan di luar negara

 MPM syor ‘brain gain’ untuk kumpul bakat tempatan di luar negara

RADUAN CHE ROSE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Majlis Profesor Negara (MPM) mengesyorkan sebuah program dikenali ‘brain gain’ bagi mengumpulkan bakat tempatan yang berada di luar negara tanpa perlu pulang ke tanah air.

Presiden MPM, Prof Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, ini kerana Malaysia tidak boleh kehilangan peluang untuk mendapatkan sumbangan daripada rakyat yang berkemahiran tinggi dan berbakat dalam proses pembangunan negara.

“Sejak kebelakangan ini ramai bakat-bakat dari Malaysia berhijrah ke negara lain atas sebab ekonomi dan sebab-sebab lain. Kita mempunyai pandangan bahawa kita tidak akan menyekat mereka kerana mereka keluar untuk menimba ilmu dan mencari peluang yang lebih baik.

“Sebab itu MPM telah memperkenal program ‘brain gain’ melalui diaspora Malaysia ini, orang selalu merintih mengenai ‘brain drain’ tetapi kita tukar kepada ‘brain gain’ ini dengan cara kita menyediakan kerangka yang lebih kemas. 

“Ia mesti dilakukan secara berfasa-fasa dengan mengenal pasti sebagai satu pangkalan data bakat Malaysia yang berada di luar,” katanya selepas sesi perbincangan Meja Bulat Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Raduan berkata, MPM bakal menyediakan kerangka kerjasama antara bakat-bakat Malaysia dengan agensi tempatan yang bersesuaian terutamanya dalam sektor ekonomi, pendidikan dan perniagaan.

“Kita baru membuat kerja-kerja asas, belum sampai ke peringkat pangkalan data lagi. Kalau dahulu ada syarikat Talent Corp memanggil pulang bakat-bakat Malaysia di luar negara tapi kita berpendapat kita tidak perlu memanggil mereka pulang.

“Kita fikirkan lebih baik mereka menimba pengalaman, meningkatkan pengetahuan di luar negara dan juga mempunyai jaringan lebih luas dan kita hanya berhubung dengan mereka secara virtual atau fizikal untuk mendapatkan penyertaan mereka dalam proses pembangunan negara,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN