KUALA LUMPUR: Selain menjadi mercu kejayaan Malaysia, satelit MEASAT-3d yang dilancarkan dari Kourou, French Guiana semalam akan menyediakan liputan internet lebih baik terutama di kawasan-kawasan pedalaman.
Ketua Pegawai Operasi MEASAT Global Berhad, Yau Chyong Lim berkata, perkembangan tersebut sekali gus akan menambahbaikan sosioekonomi penduduk yang digerakkan menerusi rangkaian internet selain merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.
“Dengan penambahan satelit tercanggih ini, rakyat akan menikmati ketersambungan lebih baik khususnya di kawasan pedalaman. Penambahbaikan liputan ini juga akan membantu negara mencapai matlamat merapatkan jurang ketersambungan digital antara kawasan pedalaman dan bandar.
“Dengan adanya MEASAT-3d, kami mempunyai keupayaan yang lebih kukuh bagi menyokong sasaran kerajaan untuk mencapai akses internet sepenuhnya menjelang 2025, dengan mengisi kelompangan perkhidmatan jalur lebar di lokasi-lokasi yang tidak mempunyai liputan 4G atau 5G,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, MEASAT-3d dilancarkan pukul 6.50 petang waktu tempatan (pukul 5.50 pagi waktu Malaysia) menggunakan roket Ariane-5 ECA dengan melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan pelancaran itu secara langsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) melalui skrin gergasi.
MEASAT-3d berkeupayaan memberikan perkhidmatan jalur lebar di kawasan pedalaman antara 35mgbps atau menyamai kadar purata perkhidmatan 4G dan 5G menggunakan talian tetap sehingga 100mgbs.- UTUSAN










