Maut selepas parah dilanggar Honda City - Utusan Malaysia

Maut selepas parah dilanggar Honda City

KEADAAN motosikal mangsa dalam kemalangan dengan sebuah kereta di KM 55 Jalan Klang-Banting-Port Dickson di Kuala Langat, Selangor, pada 2 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seorang penunggang motosikal menemui ajal ketika mendapatkan rawatan selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer (KM) 55 Jalan Klang-Banting-Port Dickson pada 2 Jun lalu.

Mangsa, lelaki berusia 58 tahun itu, dilaporkan meninggal dunia semalam selepas enam hari menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata, dalam kejadian pada Khamis lalu, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda mengalami cedera parah selepas tercampak akibat dilanggar dari arah belakang.

“Siasatan lanjut dijalankan dan mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa kedua-dua kenderaan dari arah yang sama iaitu arah Banting menghala ke arah Tanjung Sepat.

“Apabila sampai di lokasi kemalangan, kenderaan jenis Honda City dipercayai sedang memotong sebuah kenderaan di hadapannya, dalam masa yang sama motorsikal jenis Yamaha Lagenda itu sedang masuk ke simpang kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan tindakan tersebut menyebabkan kereta terbabit melanggar bahagian belakang motosikal dan mangsa tercampak ke atas jalan.

Justeru, Ahmad Ridhwan memaklumkan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyeru saksi kejadian untuk tampil di balai polis berhampiran.

“Saksi bebas yang melihat kemalangan berlaku atau saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian kemalangan ini bolehlah menghubungi mana-mana balai polis yang berhampiran.

“Atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Keisha Nur Azalea Betty Saran di talian  011-62622972 atau 03-31872222,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN