Masa depan Australia terletak di ASEAN - Utusan Malaysia

Masa depan Australia terletak di ASEAN

Penny Wong
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Luar Australia, Penny Wong secara terbuka mengakui bahawa masa depan negaranya amat bergantung kepada rantau Asia Tenggara dan bukannya dunia Barat.

Pengakuan berkenaan sekali gus membuka lembaran baharu kepada Australia yang selama ini sering dilabelkan sebagai terlalu pro-Amerika Syarikat (AS) selain sekutu tradisi Britain.

“Kami memahami masa depan kami sebenarnya rapat dengan Asia Tenggara dan juga ASEAN,” katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di sini sempena lawatan tiga hari ke Malaysia.

Ini merupakan kunjungan hormat sulung wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah dan berusia 53 tahun itu ke Malaysia selepas dilantik  Perdana Menteri, Anthony Albanese pada akhir Mei lalu.

Kelmarin, beliau melawat Vietnam  dua hari bertemu pemimpin negara sosialis berkenaan termasuk Presiden Nguyen Xuan Phuc dan Perdana Menteri, Pham Minh Chinh.

 Wong yang menjadi tumpuan sidang akhbar dipenuhi sebahagian besar wartawan asing itu menggunakan peluang tersebut bagi menjelaskan polisi luar baharu Australia.

“Kami berkongsi masa depan yang sama dengan pihak ASEAN dan pendekatan hubungan kami melihat ASEAN sebagai pusat kestabilan, kemakmuran dan keamanan sejagat,” katanya.

Beliau turut memberi contoh puluhan ribu pelajar ASEAN menuntut di negara itu sejak sekian lama, malahan ramai rakyat Australia sendiri lahir, membesar atau ada saudara di rantau ini.

Pandangan itu turut disokong Saifuddin yang mengakui Australia merupakan rakan dagang penting dan penyokong ASEAN sejak negara tersebut menjadi rakan dialog pada 1974 lalu.

Bahkan Australia aktif dalam penyelesaian kemelut politik di Myanmar selain penghantaran misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat setelah rampasan kuasa junta pada tahun lepas.

 Justeru ujarnya, Malaysia akan meneruskan kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang yang boleh diteroka bersama termasuk teknologi digital, keselamatan siber dan pendidikan teknikal.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya