Maqis kawal semua pintu keluar sekat eksport ayam - Utusan Malaysia

Maqis kawal semua pintu keluar sekat eksport ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) akan memastikan tiada aktiviti pengeksportan komoditi ayam susulan keputusan Jemaah Menteri menghentikan eksport ayam berkuat kuasa hari ini.

MAFI dalam kenyataannya memaklumkan, kelulusan permit yang meliputi pengeksportan ayam hidup, karkas ayam bulat, keratan daging ayam dan produk makanan berasaskan ayam tidak lagi dikeluarkan sekali gus permit tersebut dibatalkan dan disekat.

“Sehubungan itu, kawalan secara fizikal di semua pintu keluar dilaksanakan pegawai penguat kuasa Maqis dan sebarang aktiviti untuk mengeksport komoditi berkenaan tidak dibenarkan.

“Konsainan eksport komoditi tersebut perlu diuruskan sewajarnya oleh pemilik permit,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, sekiranya terdapat perlanggaran, tindakan di bawah subseksyen 11(2) dan 11(3), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 [Akta 728] boleh diambil.

“Jika sabit kesalahan, denda boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya,” jelasnya.

MAFI menjelaskan, larangan eksport komoditi ayam itu meliputi ayam hidup, ayam bulat (segar), ayam bulat (sejuk beku), keratan ayam dan ofal (segar), keratan ayam dan ofal (sejuk beku), keratan ayam (kepak), keratan ayam (pangkal peha) dan keratan ayam (hati).

Seterusnya daging ayam sahaja tanpa tulang, lain-lain bahagian sejuk beku (contoh kaki ayam, kulit ayam dan lain-lain) serta produk berasaskan ayam (seperti sosej ayam, nuget ayam, ayam bersalut tepung, burger ayam dan lain-lain). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN