PETALING JAYA: Indeks Demokrasi 2021 dikeluarkan Economist Intelligence Unit (EIU) menempatkan Malaysia di tempat ke-39 daripada 167 negara dan wilayah seluruh dunia.
Ini setelah Malaysia mencatatkan 7.24 mata dan berada di kedudukan tertinggi dalam kalangan seluruh anggota ASEAN, mengatasi negara jiran seperti Indonesia (6.71 mata), Filipina (6.62 mata), Singapura (6.23 mata) dan Thailand (6.04 mata).
Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, indeks itu menunjukkan Malaysia berada pada tahap yang amat sihat sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 21 Ogos tahun lalu.
“Beliau menyatakan kerajaan komited memperkenal lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa dengan Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang meliputi Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, pelaksanaan Undi18, Pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
“Selain itu, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen membabitkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, setiap RUU termasuk Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama. Ahli parti pembangkang akan terbabit dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Ketua Pembangkang diberikan saraan dan kemudahan yang setara seorang menteri,” katanya dalam kenyataan.
Hasil daripada itu, katanya, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) dizahirkan pada 13 September tahun lalu yang mengandungi penambahbaikan ke atas sistem berkerajaan.
“Komitmen kerajaan untuk menghormati kebebasan institusi kehakiman serta memperkasakan kedudukan institusi Parlimen termasuk mewujudkan semula kebebasan kewangan dan pentadbiran Parlimen yang terkandung di dalam MoU itu sudah semestinya akan menyuburkan lagi amalan demokrasi negara,” katanya. – UTUSAN










