TAPAH: Isu kemasukan pekerja asing dari Bangladesh sudah diselesaikan dan semua majikan sudah boleh memohon untuk membawa masuk golongan berkenaan secara dalam talian.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, masalah tersebut dapat diselesaikan melalui perjumpaan beliau bersama beberapa pemimpin Bangladesh dalam lawatannya ke negara tersebut baru-baru ini.
“Saya sudah berjumpa dengan Perdana Menteri Bangladesh dan Menteri Buruh negara itu. Semua sudah selesai dan sekarang majikan boleh memulakan memohon kemasukan mereka. Majikan boleh mohon melalui dalam talian, bayar levi dan bawa masuk pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Penyerahan Komputer Riba kepada 100 orang pelajar B40 Parlimen Tapah sempena Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TelentCorp di Dewan Merdeka di sini hari ini.
Mengenai jumlah pekerja asing dari Bangladesh yang bakal memasuki negara ini, Saravanan berkata, ia bergantung kepada keperluan majikan yang memohon tenaga buruh berkenaan.
“Jumlah yang bakal masuk ke negara ini tiada lagi, tapi setakat ini yang kita terima permohonan lebih kurang 200,000 tapi bukan semuanya dari Bangladesh. Ikut keperluan, yang penting adalah saya hendak kos sifar imigran dan majikan jangan kutip duit daripada pekerja asing.
“Majikan yang ingin bawa pekerja Bangladesh, kos penerbangan, kos penginapan mereka perlu tanggung dan apabila majikan kutip duit, negara akan mengalami isu buruh paksa,” katanya.
Semalam, Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) menggesa Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing meluluskan segera kemasukan pekerja dari Bangladesh melalui dasar dan polisi kerajaan.
Peluang membawa masuk golongan berkenaan meliputi semua ahli Pertubuhan Ejen Rekrutmen Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) dan bukan hanya melibatkan segelintir agensi.
Presiden PAPSMA, Datuk Megat Fairouz Junaidi Megat Junid berkata, kerajaan seharusnya tidak lagi menangguhkan proses kemasukan pekerja Bangladesh bagi tujuan berkenaan.
Beliau turut mengingatkan, persatuannya tidak mahu perkara sama seperti era 2015 hingga 2017 yang mana hanya disebabkan 10 agensi pekerjaan. Bangladesh dipilih menyebabkan banyak masalah dan kerumitan sehingga kerajaan terpaksa membatalkan kemasukan pekerja dari Bangladesh pada 2017. – UTUSAN










