Macau Scam: Wang persaraan RM20,000 lesap - Utusan Malaysia

Macau Scam: Wang persaraan RM20,000 lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang lelaki warga emas mengalami kerugian apabila wang persaraan berjumlah RM20,000 lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa dia terlibat dalam kes pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian itu bermula selepas mangsa berusia 76 tahun itu dihubungi individu tidak dikenali mendakwa pekerja Pos Malaysia Kuala Lumpur, Selasa lalu.

AHMAD ADNAN BASRI

Katanya, suspek memberitahu terdapat bungkusan bagi penghantaran ke Sabah atas nama mangsa yang berisi sekeping kad pengenalan kononnya milik mangsa dan lima keping kad ATM, namun ia telah dinafikan warga emas itu.

“Panggilan itu kemudian disambungkan ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah untuk dibuat laporan polis sebelum kepada pihak mahkamah yang memaklumkan mangsa terlibat dengan jenayah pengubahan wang haram.

“Warga emas itu sekali lagi dihubungi sindiket tersebut Khamis lalu yang meminta mangsa membuat pindahan wang kepada akaun bank sindiket bagi memastikan wang yang dimiliki dan berada dalam akaunnya adalah bersih daripada kesalahan jenayah pengubahan wang haram,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, tertipu dengan dakwaan itu dan bimbang akaun banknya akan dibekukan Bank Negara, mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak RM20,000 dari mesin ATM ke akaun bank yang diberikan suspek.

Katanya, setelah pindahan wang dibuat, mangsa menghubungi semula suspek namun tiada sebarang jawapan sebelum dia tampil membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan selepas menyedari ditipu.

“Siasatan mendapati sumber kewangan pengadu adalah daripada bayaran wang persaraannya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN