Lima kubur lama termasuk kubur berusia 96 tahun dialihkan di Bukit Ibam - Utusan Malaysia

Lima kubur lama termasuk kubur berusia 96 tahun dialihkan di Bukit Ibam

KERJA-KERJA penggalian dan pemindahan kubur lama di atas bukit di Kampung Aur, Bukit Ibam di Rompin, Pahang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Muadzam Shah dengan kerjasama Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Lima kubur lama termasuk sebuahnya yang berusia 96 tahun terletak di kawasan berbukit dan terasing di Kampung Aur, di Bukit Ibam di sini dipindahkan ke tanah perkuburan Islam di kampung berkenaan, semalam.

Kubur tersebut dipindahkan ekoran kawasan itu akan dibangunkan bagi tujuan pelebaran jalan dan pembinaan jambatan konkrit Kampung Aur.

Kadi Pejabat Agama Islam Daerah Muadzam Shah, Bunyamin Abdul Ghani berkata, usaha mengalih kesemua kubur terbabit dilakukan atas permintaan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menurutnya, JKR telah mengenal pasti terdapat lima unit kubur berada di lokasi pembinaan jalan dan jambatan baharu di Kampung Aur itu.

“Kita lakukan kerja-kerja demikian setelah mendapat persetujuan dari Pejabat Mufti Pahang, berdasarkan hukum syarak yang telah ditetapkan. Selain itu, kita juga mendapat persetujuan dari pihak waris bagi kelima-lima unit kubur terbabit sebelum dialihkan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur.

“Kerja-kerja mengalihkan kubur lama yang mana dua daripadanya bertanda dan tiga kubur tidak bertanda mengambil masa lebih kurang tiga jam,” katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Aur, di sini.

Kerja-kerja pengalihan dijalankan Pejabat Agama Islam Muadzam Shah dengan kerjasama Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Turut hadir, Timbalan Mufti Pahang, Datuk Abdul Zaki Md. Zain dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, Datuk Shamsiah Arshad.

Seorang waris bagi sebuah kubur bertanda yang ditemukan, Roszawati Mohamad, 44, berkata, disebabkan banjir besar pada 1926, kubur neneknya, Mehran Diram yang meninggal dunia bersama bayi dilahirkannya terpaksa dikebumikan di tempat lebih tinggi.

Jelasnya, berdasarkan cerita daripada abangnya, ketika nenek mereka meninggal dunia seluruh tanah perkuburan lama habis ditenggelami air.

“Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk menanam jenazah nenek dan bayinya di tempat yang tinggi serta tidak ditenggelami air.

“Sejak dari itu, selama 96 tahun kubur nenek terasing di atas bukit. Walaupun sudah lama berlalu, saya tidak pernah lupa untuk menziarahi kubur nenek. Saya berasa lega kerana pada masa itu mereka yang terdahulu ada membuat tanda dan dapatlah kami memelihara kubur arwah nenek ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN