Lelaki ditahan serang anggota polis - Utusan Malaysia

Lelaki ditahan serang anggota polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menyerang dua anggota polis yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di Taman Sri Manja di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu dipercayai berlaku apabila suspek dikatakan merangkul leher dan menumbuk muka anggota polis yang ingin menjalankan pemeriksaan terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku semasa seorang anggota polis bersama rakan setugasnya sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal.

Katanya, suspek yang berada di dalam sebuah kereta di kawasan berkenaan diarahkan untuk keluar dari kenderaan untuk pemeriksaan badan.

“Bagaimanapun suspek tiba-tiba merangkul leher mangsa dan terus menumbuk bahagian muka dan perut mangsa.

“Rakan setugas mangsa yang cuba untuk meleraikan pergelutan berkenaan turut ditumbuk oleh suspek di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kedua-dua anggota berkenaan mengalami sakit di bahagian tangan dan badan manakala suspek yang berusia 26 tahun cedera ringan akibat bergelut semasa ditahan.

“Hasil saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

“Semakan kes lampau mendapat suspek tiada sebarang rekod jenayah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN