Lapan lelaki 'kempunan' seleweng minyak diesel - Utusan Malaysia

Lapan lelaki ‘kempunan’ seleweng minyak diesel

MUHAMAD Zaki Harun (dua dari kanan) menunjukkan lori yang digunakan memunggah diesel dari stesen minyak untuk dijual kepada pemborong di Kampung Tebing Tinggi, Tanah Merah, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Hasrat lapan lelaki tempatan meraih pendapatan ‘lumayan’ menerusi aktiviti menyeludup minyak diesel bersubsidi bernilai RM210,227 gagal selepas dicekup anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa dalam dua serbuan berasingan di sini dan Machang awal pagi tadi.

Dalam serbuan pertama pada pukul 2 pagi di sebuah stor di Kampung Tebing Tinggi di sini, PGA bersama anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan berjaya menahan tiga lelaki berusia 29 hingga 50 tahun itu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, semasa serbuan dilakukan anggota bertugas mendapati mereka sedang menyedut minyak diesel dari lori ke dalam enam buah tangki simpanan statik dengan menggunakan mesin.

Menurutnya, sejurus selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, salah seorang lelaki berkenaan berjaya meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah tangki lori menemukan 28,800 liter minyak diesel yang dipercayai dibeli dari sebuah stesen minyak berhampiran untuk dijual kepada pemborong.

“Pemeriksaan lanjut diteruskan ke atas enam buah lagi tangki yang berada di lokasi yang membawa kepada penemuan 90,800 liter minyak diesel. Nilai keseluruhan rampasan bahan api termasuk lori dan pam dianggarkan berjumlah RM735,220,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Muhamad Zaki memberitahu, serbuan kedua serbuan di sebuah stesen minyak di Machang pada pukul 3.15 pagi membawa kepada rampasan empat lori mengandungi 6,980 liter minyak diesel.

Katanya, dalam serbuan itu lima lelaki masing-masing berusia 29 hingga 40 tahun ditahan.

“Ketika serbuan kesemua lelaki tersebut bersama tiga lori sedang memindahkan bahan api itu ke dalam lori tangki. Jumlah keseluruhan rampasan melibatkan empat lori dan satu mesin pam minyak bernilai RM910,007,” jelasnya.

Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan sama ada minyak diesel yang dirampas itu untuk diseludup ke negara jiran atau sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN