Lantik jurucakap khas buat pengumuman dasar kerajaan elak kekeliruan

Lantik jurucakap khas buat pengumuman dasar kerajaan elak kekeliruan

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN:  Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan melantik jurucakap khas bagi membuat semua pengumuman berhubung dasar kerajaan selepas pertimbangan yang teliti.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu bertujuan mengurang atau menghapuskan kemungkinan kenyataan bercanggah berhubung dasar kerajaan yang menyebabkan kekeliruan tidak sepatutnya dalam kalangan rakyat.

Beliau mengambil contoh kekeliruan pengumuman dalam isu subsidi minyak masak sawit, ayam dan telur baru-baru ini yang menyebabkan pembelian panik dalam kalangan pengguna.

Katanya, dalam isu itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan subsidi minyak masak di dalam botol antara satu hingga lima kilogram (kg) dihentikan mulai 1 Julai.

“Bagaimanapun, pada hari sama media melaporkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin mengumumkan kerajaan tidak menamatkan subsidi bagi minyak masak sawit selepas 1 Julai tetapi kembali kepada mekanisme harga asal sebelum pandemik Covid-19.

“Kita hairan mengapa terdapat dua pengumuman yang bercanggah mengenai topik sama yang menjadi kebimbangan serius pada hari yang sama di dalam media,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lebih menghairankan, kata Mohideen,  berlaku pusingan-U secara tiba-tiba selepas  pengumuman mengenai penghapusan subsidi itu dalam media selama dua hari yang menyebabkan kebimbangan tidak wajar dalam kalangan pengguna. 

Jelasnya, pengumuman sedemikian menyebabkan beberapa pasar raya mencatu minyak masak kerana bimbang berlaku pembelian panik.

“Pengumuman sebegini boleh mencetuskan pembelian panik yang merupakan perkara yang perlu dielakkan oleh kerajaan dan pengguna,” katanya.

Tambah beliau, jika kerajaan mendengar kata-kata pengguna seperti yang didakwa, kerajaan sepatutnya melakukan kajian dan membuat keputusan sebelum mengumumkan pemansuhan subsidi.

Ini jelasnya, menunjukkan terdapat kekurangan penyelarasan dalam kalangan kementerian atau mereka tidak diberikan taklimat dengan betul menyebabkan menteri terpaksa membuat kenyataan seolah-olah terdapat beberapa salah faham mengenai isu berkaitan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN