Kumpulan pertama jemaah haji berlepas - Utusan Malaysia

Kumpulan pertama jemaah haji berlepas

Dari kanan Muhammad Faris Salehan, 24, Muhammad Firdauz Abdul Rashid, 35, Raihana Salehan, 35, Faris Hanis Salehan, 33, antara jemaah haji pertama berangkat ke Tanah Suci Mekah pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang semalam.- MINGGUAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Selepas dua tahun sunyi, Pusat Konvensyen Movenpick KLIA di sini kembali meriah apabila kumpulan sulung 295 bakal jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci, semalam.
Namun, di sebalik kegembiraan itu, tiga bakal jemaah terpaksa menangguhkan penerbangan kerana positif Covid-19.
Kumpulan dalam penerba­ngan KT01 itu sebahagian daripada 14,306 individu yang bakal menjadi tetamu Allah mengikut ketetapan kuota rasmi Malaysia bagi musim haji 1443H/2022M.
Tinjauan Mingguan Malaysia mendapati, ramai kalangan jemaah berada di Kompleks Tabung Haji KLIA sebelum subuh lagi, bukan sahaja kerana terlalu teruja tetapi juga bagi memastikan semuanya berjalan lancar bagi menunaikan haji.

Perasaan sama dikongsi Pe­ngurus Besar pusat berkenaan, Wan Enderi Mohd. Saad yang gembira dapat menyantuni kumpulan duyufurrahman untuk penerbangan pertama itu.

“Walaupun ini julung kali saya terlibat secara langsung, namun keadaan pagi ini (semalam) terkawal dengan bakal jemaah begitu tertib dan tiada perkara buruk berlaku,” kata­nya ketika ditemui.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Tabung Haji dan gembira melihat keceriaan bakal jemaah yang datang jauh dari seluruh negara.

Beramah mesra

Jemaah turut diraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meluangkan masa beramah mesra dengan jemaah dengan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Tabung Haji, Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Mereka berlepas pada pukul 1.35 tengah hari menerusi pe­nerbangan SV 5635 Saudia Airlines dan dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz di Madinah pukul 4.55 petang waktu Arab Saudi.

Sementara itu, perasaan te­ruja dilihat pada wajah Nur Alia Qistina Mohd. Zahiruddin yang terharu dapat menunaikan ibadah haji pada usia muda.
Malah lebih manis, pelajar berusia 17 tahun itu berpeluang mengerjakan rukun Islam kelima tersebut bersama kedua-dua ibu bapanya.

Bapanya, Mohd. Zahiruddin Abd. Wahid, 42, yang bekerja di sektor swasta dan ibunya, Nur Syaffina Abd. Rahim, 41, penjawat awam di Putrajaya turut meluahkan perasaan yang sama.

Mendoakan

Dalam nada ceria, tiga beranak tersebut yang giliran haji mereka sepatutnya pada 2020 lalu mendoakan agar segala urusan di Tanah Suci dipermudahkan dan memperoleh haji mabrur.

Mohd. Rostam Abdullah, 52, turut bersyukur dapat menunaikan haji dengan isterinya, Siti Normaiza Mansur, 44, seorang guru sekolah rendah di Kemaman, Terengganu kerana pada mulanya tidak begitu yakin akan diberikan peluang.

Tidak ketinggalan meluahkan syukur, Mohamad Faruk Idris, 42, pekerja swasta di Kajang, Selangor yang menyifatkan ia sebagai anugerah setelah gilirannya pada 2020 lalu ditunda.

Lebih teruja, beliau turut ditemani isteri, Anisah Farihah Mustapa, 42, guru sekolah di Cheras, Selangor yang berjaya diluluskan rayuan sebagai mahram meskipun gilirannya lambat lagi.

“Saya berharap agar dapat dikurniakan haji mabrur dan turut mendoakan Malaysia turut makmur selain negara ini bebas terselamat daripada ancaman wabak Covid-19,” katanya.

Pandangan sama dikongsi suami isteri, Zahari Mohd. Yusof, 57, dan Latifah Samsudin, 48, suri rumah, dari ibu negara kerana tidak menyangka antara terpilih.

Meskipun berat terpaksa meninggalkan lima anak di ta­nah air yang masih bersekolah, beliau berharap, perjalanan ibadah mereka bergerak lancar tanpa ada sebarang masalah besar.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN