Kucing jalanan menang Citrawarna Kucing Kelantan 2022 - Utusan Malaysia

Kucing jalanan menang Citrawarna Kucing Kelantan 2022

WAN Suhairing Wan Daud (tengah) bersama Mimiey dan hadiah yang dimenanginya dalam pertandingan Citrawarna Kucing Kelantan 2022 , Dunia Kucingku, di Kota Bharu, semalam. UTUSAN/ TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kucing jalanan betina yang sebelum ini dibuang dan ditemukan dalam kelaparan di Pasar Besar Pasir Mas membawa tuah kepada pemiliknya apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Citrawarna Kucing Kelantan 2022, Dunia Kucingku, semalam.

‘Mimiey’ yang dipungut semula seorang pencinta kucing dari Bukit Bunga, Jeli sejak Januari lepas menerima hadiah wang tunai RM1,000 bersama piala, riben kejuaraan, baucer tunai dan hadiah iringan.

Berkongsi cerita bersama Utusan Malaysia, pemilik Mimiey, Wan Suhairing Wan Daud, 40, berkata, kucing terbiar itu berjaya menewaskan 105 kucing lain termasuk baka ‘kayangan’ bernilai puluhan ribu ringgit yang diperagakan dalam pertandingan itu.

Menurutnya, Mimiey dahulunya hodoh, kurus dan berkurap dibelai dengan penuh kasih sayang sehingga berjaya menampilkan kecantikannya, mudah diajar dan jinak dengan orang ramai.

“Ramai yang tidak percaya Mimiey asalnya kucing pasar yang telah di buang di Pasar Pasir Mas. Namun itulah, hakikat sejarah sebenar kehidupannya sebelum ini.

“Saya memang tidak menduga dan terkejut bila menyertai pertandingan ini, Mimiey diumumkan sebagai pemenang keseluruhan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wang Suhairing yang juga pengasas ABAH Home Of Bulus dari Bukit Bunga, Jeli kini memiliki 20 ekor kucing pelbagai baka kesal kerana pasar sering menjadi pusat pembuangan kucing, terlalu yang sakit dan terpaksa dirawat.

Menurutnya, perbelanjaan untuk mengurus kucing belaan dan merawat kucing terbiar melebih RM1,000 sebulan dan meminta orang ramai tidak bertindak zalim membuang kucing peliharaan mereka.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kucing Tumpat, Ahmad Bukhari Abdul Rashid, 35, selaku penganjur program berkata, sebelum menobatkan kejuaran penilaian kebersihan badan kucing, spesifikasi baka, kelakuan dan persembahan kucing dinilai oleh juri yang pakar mengenai haiwan ini.

Katanya, pertandingan dianjurkan dengan melibatkan penyertaan kucing kampung, Persian, Exotic, Sphynx, British ShortHair, Somali, Maincoon, Burmese, Bengal, Munchkin, Devon rex dan DHL yang dibawa pemilik negeri ini, Terengganu dan Pahang.

“Siapa sangka kucing kampung berjaya menumpas kucing yang lebih mahal daripadanya. Tuah ayam nampak di kaki, tuah kucing pada kemanjaan dan keanggunannya bersama manusia,” ujarnya.

Citrawarna Kucing Kelantan 2022 , Dunia Kucingku adalah anjuran bersama Persatuan Kucing Tumpat, Speed Media Gallery, Candy cat House, Equilibrio Malaysia, Mydin Mall Tunjong dan Kelantan Cat Owner Club.

Lima kategori dipertandingkan iaitu kucing bulu panjang dewasa, kucing bulu pendek dewasa, kucing bulu panjang dan pendek junior serta kucing kampung. –UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN